KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki kerugian sebanyak RM62,000 selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 11 Jan lepas, mangsa yang berusia 37 tahun telah menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai petugas Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang.
Beliau berkata suspek menawarkan projek membekal kabel elektrik jenis 16 milimeter (mm) dan 2.5 mm bernilai lebih RM60,000 dalam masa tiga hari kepada mangsa.
"Suspek turut memberikan nombor telefon rakannya yang menyamar sebagai pembekal kepada mangsa, kononnya untuk memudahkan urusan pembelian barangan.
"Mangsa yang terperdaya telah menghubungi rakan suspek dan membuat dua kali bayaran berjumlah RM62,000 pada 25 dan 26 Jan lepas bagi mendapatkan bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa mengesyaki ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM40,000 bagi pelepasan kastam.
Mangsa kemudian menghubungi pihak ILP Marang bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kewujudan tender berkenaan dan perkara itu dinafikan pihak institut berkenaan.
"Mangsa membuat laporan polis pada 1.51 petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial