WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN EMPAT WARGA ASING TERLIBAT SINDIKET PENIPUAN DALAM TALIAN DI NILAI

28/01/2026 06:54 PM

NILAI, 28 Jan (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki warga asing disyaki terlibat kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian selepas menyerbu tiga premis kediaman di sekitar Nilai pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai hasil maklumat risikan berkaitan penipuan jual beli dalam talian dan sindiket penipuan cinta yang menyasarkan mangsa dari dalam dan luar negara melalui aplikasi Facebook dan Tinder.

“Kesemua suspek berusia antara 40 hingga 43 tahun itu ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan sindiket berkenaan, siasatan awal mendapati kegiatan sindiket penipuan ini bermula sejak dua tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Johari berkata polis turut merampas pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM10,000 termasuk  komputer riba (lapan), telefon bimbit (24), sebuah tablet jenama Samsung, kad debit pelbagai bank (enam) dan tiga pemacu pena (pendrive) dalam operasi itu.

Beliau berkata semakan lanjut terhadap dokumen perjalanan mendapati mereka tidak mempunyai cop keluar atau masuk ke negara ini serta tamat tempoh dan dua daripadanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

Kesemua suspek direman empat hari sehingga 30 Jan ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B akta yang sama.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan