WILAYAH - SARAWAK > BERITA

71 SYARIKAT FRANCAISOR ASING BERDAFTAR OPERASI F&B DI MALAYSIA SEHINGGA 2025

29/01/2026 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 71 syarikat francaisor asing dalam sektor makanan dan minuman (F&B) berdaftar untuk beroperasi di Malaysia sehingga 31 Dis, 2025, menurut Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP).

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen berkata bilangan tersebut merupakan 42 peratus daripada 170 jumlah keseluruhan syarikat francaisor F&B yang berdaftar.

“Kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi oleh usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) khususnya dalam sektor francais akibat kemasukan syarikat-syarikat antarabangsa yang menawarkan produk makanan dan minuman pada harga yang lebih rendah serta mempunyai kelebihan dari segi skala dan rantaian bekalan global.

“KUSKOP sentiasa memastikan hanya permohonan francaisor  asing yang benar-benar layak dan dapat menyumbang kepada ekonomi negara sahaja diberikan kelulusan untuk mendaftar sebagai francaisor asing,” katanya.

Kementerian itu menjawab soalan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai mekanisme yang bakal dilaksanakan kerajaan dalam melindungi pemain ekonomi tempatan terutamanya dalam kalangan PMKS tempatan daripada terjejas akibat persaingan sengit dengan kemasukan syarikat antarabangsa.

Di samping itu, KUSKOP melalui agensi-agensi juga mengadakan beberapa program bagi memperluaskan pasaran produk usahawan PMKS seperti inisiatif penstriman secara langsung dan fasiliti studio secara langsung percuma melalui kerjasama TEKUN Nasional dan Tik Tok Shop.

Ini bertujuan mempertingkat nilai jualan usahawan dan Platform MyMall di bawah Pernas yang menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma bagi produk atau perkhidmatan PMKS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan