KUCHING, 29 Jan (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 21 pendatang asing warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang cuba memasuki negara ini melalui laluan haram di sempadan Malaysia–Indonesia di Lundu, selatan Sarawak, semalam.
Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, dalam kenyataan memaklumkan kesemua individu terbabit terdiri daripada 17 wanita dan empat lelaki berusia antara empat hingga 48 tahun, ditahan dalam operasi rondaan keselamatan sempadan kira-kira pukul 3.20 petang.
Menurut kenyataan itu, pasukan operasi TDM mengesan pergerakan mencurigakan kumpulan berkenaan yang dipercayai bergerak dari arah sempadan Indonesia menuju ke wilayah Malaysia.
“Bertindak pantas, pasukan keselamatan melaksanakan serbuan taktikal kira-kira 800 meter dari garisan sempadan di sebelah Malaysia sebelum berjaya menahan kumpulan tersebut daripada meloloskan diri ke kawasan pedalaman,” katanya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati majoriti pendatang asing berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala tujuan kemasukan dipercayai untuk mencari pekerjaan serta mendapatkan barangan tanpa melalui pintu masuk imigresen yang dibenarkan.
Dalam operasi sama, pasukan keselamatan turut merampas pelbagai barangan bernilai keseluruhan RM10,637 termasuk 19 unit telefon pintar pelbagai jenama, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar pergerakan kumpulan tersebut.
“Pemeriksaan keselamatan mengesahkan kesemua individu terbabit tidak membawa sebarang senjata api atau bahan berbahaya ketika ditahan.
“Kesemua 21 pendatang asing itu diusir serta-merta ke negara asal melalui sempadan terdekat pada hari sama, manakala satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu sebagai rekod pencerobohan yang berjaya digagalkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial