KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) menjadi landasan penting kerajaan bagi memastikan keupayaan negara menjamin bekalan makanan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata dasar berkenaan dirangka sejajar dengan keperluan dalam mendepani cabaran semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik global yang memberikan kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan.
Mohamad berkata tumpuan utama dasar itu ialah pemeliharaan kuasa beli rakyat serta pengurangan kebergantungan pada import selain peningkatan eksport.
“Yang kita tumpu ialah dua perkara utama, iaitu menjaga kuasa beli rakyat dan mencari jalan untuk pengurangan import,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran DKMN 2030 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, di sini hari ini.
Mohamad berkata terdapat keperluan untuk memperkenalkan pendekatan pertanian pintar, khususnya dalam sektor padi memandangkan tahap kecukupan beras negara kini berada pada paras yang membimbangkan.
“Tahap kecukupan beras kita hanya lebih kurang 50 peratus. Amat-amat tidak selamat kalau berlaku sesuatu perkara di luar negara,” katanya.
Beliau berkata isu himpitan pembangunan dan penyediaan kawasan pertanian, khususnya sawah padi, sedang dibincangkan bersama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
Dalam pada itu, Mohamad berkata isu pembaziran makanan turut menjadi antara fokus utama di bawah dasar berkenaan, dengan kempen kesedaran akan digerakkan secara bersama melibatkan pelbagai kementerian.
Negara, katanya, ketinggalan berbanding Jepun dan negara jiran Thailand dalam aspek usaha mengurangkan pembaziran makanan.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata DKMN 2030 dilancarkan sebagai jawapan kepada keperluan satu hala tuju yang jelas dan bersifat jangka panjang.
Hala tuju berkenaan katanya, merangkumi bukan sahaja aspek ketersediaan dan pengeluaran makanan, malah keselamatan dan kualiti makanan, kebolehcapaian, kestabilan serta kelestarian alam sekitar dalam mengukuhkan sistem makanan negara.
Beliau berkata DKMN 2030 digerakkan melalui pendekatan berasaskan empat misi utama, antaranya termasuklah melahirkan pertanian yang cekap dan produktif dan membina sistem agromakanan yang mampan dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial