WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IPO AMBEST TERLEBIH LANGGAN 46.07 KALI MENJELANG PENYENARAIAN DI PASARAN ACE

29/01/2026 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) Ambest Group Bhd menerima minat pelabur yang tinggi dengan bahagian awamnya terlebih langganan sebanyak 46.07 kali menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Feb, 2026.

Ambest berkata sejumlah 8,084 permohonan bagi 1.20 bilion saham terbitan yang bernilai kira-kira RM300.1 juta diterima daripada orang awam di Malaysia.

"Bagi bahagian bumiputera, sejumlah 4,138 permohonan bagi 365.4 juta saham terbitan diterima mewakili kadar terlebih langganan kira-kira 27.66 kali," kata Ambest dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu menambah bahagian awam mencatatkan permintaan yang lebih tinggi dengan 3,946 permohonan bagi 834.87 juta saham terbitan yang diterjemahkan kepada kadar terlebih langganan sebanyak 64.48 kali.

Ambest turut berkata 12.75 juta saham terbitan yang ditawarkan kepada individu yang layak dilanggan sepenuhnya.

Tawaran saham persendirian sebanyak 63.75 juta saham terbitan kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, juga dilanggan sepenuhnya.

Selain itu, kata Ambest, tawaran saham persendirian sebanyak lapan juta saham terbitan dan 40.95 juta saham tawaran kepada pelabur terpilih juga ditempatkan sepenuhnya.

Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO Ambest manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd berfungsi sebagai penasihat kewangan korporat bagi pelaksanaan urusan berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan