WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAMBATAN JALAN TUN ABDUL RAZAK DIBUKA SEMENTARA SEMPENA THAIPUSAM - DATUK BANDAR IPOH

20/01/2026 07:13 PM

IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membenarkan laluan di Jambatan Jalan Tun Abdul Razak yang sedang dalam proses baik pulih digunakan sempena sambutan Thaipusam dari 28 Jan sehingga 2 Feb.

Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah dalam kenyataan berkata kebenaran menggunakan laluan di jambatan itu hanya bagi sambutan tersebut dengan pematuhan syarat tertentu.

“Pihak MBI mengambil maklum keperluan laluan jambatan terbabit bagi tujuan Thaipusam yang melibatkan aktiviti perarakan kavadi dan orang perseorangan untuk penyempurnaan upacara itu,” katanya.

Sementara itu, Zamakhshari berkata tempoh pelaksanaan projek baik pulih jambatan itu dilanjutkan dari tarikh asal 6 Jan kepada 6 Feb 2026.

Beliau berkata lanjutan itu setelah mengambil kira keperluan penyelarasan awal projek bagi memberi ruang kepada sambutan Thaipusam memandangkan skop kerja projek melibatkan pembukaan serta perobohan struktur asal jambatan yang memberi kesan langsung kepada pergerakan trafik dan aktiviti masyarakat setempat.

“Selain itu, keadaan hujan yang lebat dan tidak menentu pada November dan Disember tahun lepas juga menjadi faktor penyumbang kepada kerja di tapak kerap tertangguh. 

“Hal ini kerana pihak MBI lebih mengutamakan faktor keselamatan, kualiti kerja dan kepatuhan kepada spesifikasi teknikal,” katanya.

Zamakhshari berkata MBI memberi jaminan pelanjutan tempoh itu merupakan langkah perlu dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, kualiti pembinaan jambatan serta kepentingan jangka panjang pembangunan bandar raya Ipoh. 

Beliau berkata usaha sedang dan akan terus dilaksanakan bagi meminimumkan gangguan terhadap orang awam sepanjang kerja itu berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan