WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU PENDIDIKAN , SOSIOEKONOMI JADI TUMPUAN PERBAHASAN DEWAN RAKYAT

30/01/2026 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat yang berakhir minggu ini menyaksikan pelbagai isu utama dibangkitkan, merangkumi pendidikan, pemerkasaan infrastruktur, sosioekonomi rakyat serta keselamatan digital.

Perbahasan yang bermula pada 20 Jan lalu susulan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 19 Jan, menyaksikan seramai 150 Ahli Parlimen mengemukakan pandangan dan membawa suara rakyat dari kawasan masing-masing.

Dalam perbahasan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, Ahli Parlimen berharap pelaksanaannya dilakukan secara inklusif dengan mengambil kira realiti infrastruktur pendidikan, khususnya di negeri dan kawasan luar bandar.

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) menyambut baik inisiatif pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun serta kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela, namun menegaskan dasar itu perlu seiring dengan penyediaan kemudahan asas pendidikan, terutama di luar bandar.

Perkara sama dibangkitkan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap keperluan bilik darjah bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Selain itu, beberapa Ahli Parlimen menuntut supaya isu kemiskinan bandar ditangani secara lebih menyeluruh, termasuk mencadangkan penubuhan kementerian khas atau agensi pusat bagi menyelaras usaha berkaitan.

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata tanpa tumpuan khusus, usaha sedia ada berisiko sekadar menangani simptom tanpa menyelesaikan punca sebenar kemiskinan bandar.

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pula mencadangkan kerajaan memperhalusi kaedah penilaian bantuan ekonomi bagi menangani tekanan kewangan yang dihadapi golongan ‘generasi sandwich’, khususnya dalam mendepani realiti masyarakat menua menjelang 2036.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mencadangkan setiap dasar kerajaan merangkumi komponen pembangunan usahawan dan pendidikan dengan sasaran yang jelas serta boleh dicapai.

Dalam isu keselamatan digital, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) menggesa kerajaan meningkatkan penggunaan aplikasi pengesanan kecerdasan buatan (AI) bagi membanteras manipulasi maklumat, susulan 67,735 kes jenayah digital direkodkan dengan kerugian RM2.7 bilion pada 2025.

Sidang Dewan Rakyat minggu ini turut menarik perhatian apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak dilaksanakan.

Menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan bahawa ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ketiadaan ujian tersebut tidak bermakna pemantauan terhadap tahap kesiapsiagaan murid diabaikan, sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul bersama oleh guru dan ibu bapa melalui pemerhatian berterusan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sebelum menangguhkan mesyuarat bahawa sesi jawapan menteri berhubung isu dibangkitkan dalam perbahasan dijadual berlangsung dari 4 hingga 10 Feb.

Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada Isnin dan Selasa depan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan