WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NESTLE DIARAH BAYAR HAMPIR RM4 JUTA KEPADA FIRMA KESELAMATAN SUSULAN PENAMATAN TIDAK WAJAR

30/01/2026 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bayaran ganti rugi hampir RM4 juta kepada firma keselamatan Uppal Aimed Guard Security Sdn Bhd selepas mendapati penamatan perkhidmatan syarikat itu oleh Nestle Products Sdn Bhd dan Nestle Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd adalah tidak wajar.

Hakim Shoba Rajah Dorai Rajah, semalam memutuskan Nestle selaku defendan telah menamatkan perjanjian perkhidmatan keselamatan berkenaan secara tidak sah, seterusnya mengarahkan pembayaran ganti rugi sebagai ganti kepada pengembalian semula kontrak.

Mahkamah memerintahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM3,891,744.42, ganti rugi teladan (RM30,000) serta kos berjumlah RM50,000 kepada pihak plaintif.

Uppal Aimed Guard Security Sdn Bhd diwakili peguam Datuk Gobinath Mohanna dan P. Taneswaran manakala Nestle diwakili peguam Dawn Wong.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma keselamatan itu menyatakan telah memeterai perjanjian perkhidmatan keselamatan dengan defendan pada 25 Julai 2022 untuk menyediakan pengawal keselamatan di lima premis Nestle dan berdasarkan perjanjian itu, plaintif mula menugaskan pengawal keselamatan bermula 1 Ogos 2022, termasuk di premis Nestle di 1 Powerhouse, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Plaintif mendakwa pada 16 Ogos 2022, pengurus keselamatan Nestle meminta syarikat itu untuk menggantikan tiga pengawal berpengalaman dari Nepal dengan pekerja asing baharu yang belum pernah bekerja di Malaysia.

Plaintif mendakwa permintaan terbabit dibuat atas alasan pengawal baharu lebih mudah untuk dilatih dan dikawal oleh Nestle, namun perkara itu adalah di luar terma perjanjian perkhidmatan keselamatan.

Firma keselamatan itu menyatakan pihaknya mematuhi arahan berkenaan dan menempatkan lima pengawal keselamatan baharu dengan Nestle memilih tiga daripada mereka, walaupun dimaklumkan dua pengawal keselamatan masih menunggu kelulusan permit kerja.

Menurut plaintif, kesemua pengawal terbabit berada di Malaysia secara sah dan dalam proses mendapatkan permit.

Nestle kemudian mendakwa pengawal-pengawal itu tidak memiliki permit kerja yang sah, seterusnya menggantung perkhidmatan Uppal Aimed Guard Security Sdn Bhd di tapak Bandar Utama serta menghalang pengawal keselamatan daripada memasuki premis. Nestle menolak cadangan, walaupun plaintif menawarkan untuk menggantikan pengawal.

Pada 7 Nov 2022, Nestle menamatkan perkhidmatan plaintif di tapak Bandar Utama dengan serta-merta dan menamatkan perkhidmatan di empat premis lain dengan notis tiga bulan, dengan alasan berlaku pelanggaran kontrak.

Plaintif mendakwa penamatan berkenaan adalah tidak sah, dilakukan dengan niat jahat serta berasas dakwaan tidak sahih bahawa pengawal-pengawal tersebut adalah pendatang tanpa izin.

Ketiga-tiga pengawal berkenaan, menurut plantif kemudian memperoleh permit kerja yang sah dengan secara retrospektif dan pihak Nestle mengetahui mengenai proses imigresen itu sejak awal lagi.

Firma keselamatan itu turut mendakwa Nestle gagal mematuhi peruntukan penyelesaian pertikaian dan remedi, yang memerlukan pemberitahuan serta peluang untuk memperbetul sebarang dakwaan pelanggaran yang didakwa sebelum penamatan dilakukan.

Sementara itu, pihak defendan mendakwa penamatan itu sah, dengan alasan kesemua pekerja terbabit tidak memiliki pas lawatan (Kerja Sementara) yang sah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan