WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KD PARI TAMAT PERKHIDMATAN SELEPAS 49 TAHUN

30/01/2026 04:41 PM

SANDAKAN, 30 Jan (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Pari yang pernah memainkan peranan penting dalam Op Daulat bagi mengekang pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013, mengakhiri perkhidmatan secara rasmi selepas 49 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris berkata upacara pelucutan tauliah kapal rondaan itu bukan sekadar menamatkan aset lama sebaliknya simbol penting kepada proses transformasi TLDM ke arah armada yang lebih moden dan berkeupayaan tinggi.

"Kapal ini sudah berkhidmat dengan cemerlang dalam menjalankan tugas di perairan Sabah dan Semenanjung dengan rekod pelayaran 397 juta batu nautika, selain terbabit dengan pelbagai operasi penting serta latihan bersama kapal tempatan dan luar negara.

"KD Pari menjadi kapal pertama daripada skuadron yang dilucut tauliah pada tahun ini, beberapa kapal lain dijangka akan melalui proses pelucutan tauliah secara berperingkat," katanya selepas menyempurnakan upacara pelucutan tauliah kapal berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata KD Pari juga memainkan peranan penting dalam menyokong misi Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi menjamin zon keselamatan di kawasan perairan timur negeri itu Sabah Timur.

Berdasarkan sejarah ringkas, KD Pari dilancarkan pada 1975 di Limbungan Hong Leong-Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang, seterusnya ditauliahkan pada 23 Mac 1977.

Menggunakan panggilan antarabangsa 9MJO dan nombor pennant 3510, kapal ini pada mulanya diletakkan di bawah Skuadron Fast Attack Craft (Gun) bersama lima kapal ronda lain di bawah kelas Jerong, iaitu KD JERONG (3505), KD TODAK (3506), KD PAUS (3507), KD YU (3508) dan KD BAUNG (3509).

Pada 2019 skuadron tersebut telah ditukarkan kepada Skuadron Kapal Ronda Laju (SKRL - 6) yang turut menggabungkan KD SERANG (3502) dan KD GANAS (3503). 

Kesemua kapal milik TLDM itu seterusnya diletakkan di bawah naungan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang berpangkalan di Sandakan, Sabah bagi menjalankan tugas rondaan terutamanya di pantai timur Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan