WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGUATKUASAAN PERLU BERKESAN, LIBAT SELURUH KEKUATAN JENTERA NEGARA - ANWAR

30/01/2026 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Semua tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat, bermula daripada Persekutuan, negeri hingga ke tahap pihak berkuasa tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun beberapa langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan, kerajaan tidak boleh sekadar berpuas hati dengan tindakan berkenaan, sebaliknya perlu melakukan lebih daripada itu demi melihat satu perubahan yang menyeluruh.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri (hari ini), kita bincang tentang penguatkuasaan dan saya tahu beberapa tindakan telah diambil tetapi jangan kita mudah berpuas hati dengan tindakan yang telah dilakukan setakat ini.

“Meskipun beberapa langkah telah dilaksanakan, masih terdapat kelemahan ketara dari segi kebersihan, pematuhan peraturan serta penguatkuasaan di lapangan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, Gombak dekat sini hari ini.

Anwar berkata untuk melihat perubahan sebenar, tindakan penguatkuasaan memerlukan gerakan dan rancangan menyeluruh melibatkan seluruh kekuatan jentera negara.

Beliau berkata hanya dengan menggerakkan kekuatan jentera secara keseluruhan, barulah usaha memperbaiki keadaan dalam negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Perdana Menteri berkata penguatkuasaan dan pemantauan perlu diperkukuh dari peringkat Ketua Setiausaha Kementerian, ketua-ketua jabatan, pengarah malah termasuk anggota Jemaah Menteri sendiri kerana kelemahan sering bermula dari peringkat atasan.

Penguatkuasaan di peringkat tertinggi juga, kata Anwar perlu lebih teliti dan berdisiplin kerana ia menjadi contoh kepada pelaksanaan di peringkat bawahan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata isu di peringkat bawah seperti pengurusan gerai, tahap kebersihan, kemasukan pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan serta pelanggaran undang-undang oleh warga asing yang bekerja tanpa prosedur sah juga perlu ditangani secara tegas dan konsisten.

“Oleh itu, saya telah kerahkan dan saya mahu tindakan yang kita umumkan beberapa hari lepas diteruskan sehingga betul-betul ada kesan positif kepada rakyat dan negara,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan