WILAYAH - UTARA > BERITA

ENAM KALI DIBERSIHKAN, MBI SEKALI LAGI LAKSANA OPERASI DI RUMAH SAMA

30/01/2026 04:57 PM

IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam melaksanakan operasi bersepadu bagi menghapuskan kacau ganggu persekitaran di sebuah rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini, susulan aduan berulang penduduk walaupun tindakan serupa telah dilakukan sebanyak enam kali.

Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah berkata halaman rumah teres setingkat milik wanita berusia 69 tahun itu didapati terus dijadikan tempat pengumpulan barangan kitar semula dan sampah sarap tidak terkawal sehingga menjejaskan kesejahteraan serta kualiti hidup komuniti sekitar.

“Keadaan itu menyebabkan kacau ganggu persekitaran serta berpotensi menjadi tempat pembiakan dan penyebaran penyakit bawaan vektor seperti nyamuk, lipas dan tikus.

“Sejak 2016, enam operasi pembersihan telah dilaksanakan selain pemilik juga dikenakan tindakan mahkamah sebanyak tiga kali melibatkan hukuman denda dan perintah mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Zamakhshari berkata dalam operasi dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis serta disaksikan oleh Ahli Majlis MBI Zuraidah Zakaria melibatkan lima lori berkapasiti tujuh tan, sebuah jengkaut dan sebanyak 27 anggota pembersihan. 

Beliau berkata barangan seperti plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dengan mereka mengambil masa tiga jam untuk menyelesaikan operasi itu.

“MBI kekal komited dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga Ipoh sentiasa terpelihara melalui penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan berterusan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan