WILAYAH - TIMUR > BERITA

APMM KELANTAN SUMBANG BAUCAR, BAKUL MAKANAN KEPADA KELUARGA ASNAF NELAYAN

30/01/2026 05:59 PM

TUMPAT, 30 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menyumbang baucar dan bakul makanan kepada 18 keluarga asnaf dan 45 pelajar dalam kalangan komuniti nelayan sekitar sini.

Penerima, Rosdi Mamat, 57, dari Kampung Geting berkata sumbangan itu menunjukkan keprihatinan agensi berkenaan untuk meringankan beban golongan nelayan.

"Awal tahun ini kami sudah keluarkan banyak belanja untuk persekolahan anak-anak. Sumbangan baucar bernilai RM100 ini akan saya gunakan untuk beli songkok dan baju Melayu kepada seorang daripada tiga anak saya.

"Sumbangan sebegini sangat bermakna kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami sekeluarga akibat peningkatan kos sara hidup ketika ini," katanya kepada pemberita pada Program Sabahat Maritim di sebuah kedai pakaian di sini hari ini.

Bagi penerima bakul makanan, Hashim Jusof, 49, yang menetap di Kampung Pantai Geting pula berkata dia tidak dapat keluar menangkap ikan sejak November lepas berikutan ombak besar dan angin kencang yang belum berakhir.

"Buat sementara waktu ini saya bergantung pada beberapa bantuan kerajaan termasuk bantuan sara hidup nelayan dan Sumbangan Tunai Rahmah.

"Laut masih bergelora dan agak berbahaya untuk kami meneruskan kerja menangkap ikan jadi pendapatan kami tidak seberapa. Sumbangan ini memberikan kelegaan kepada kami sekeluarga," katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata program berkenaan juga menunjukkan bahawa APMM bukan sahaja berperanan sebagai agensi penguat kuasa undang-undang malah cakna dan mengambil berat kebajikan masyarakat setempat.

Terdahulu, sumbangan baucar RM100 bagi membeli pakaian dan peralatan sekolah serta bakul makanan disampaikan oleh Ketua Pos Maritim Pengkalan Kubor Leftenan Madya Mohd Yuskhairul Alhasis Mat Yunus kepada penerima.

Awal tahun ini, program yang biasanya dilaksanakan semasa musim tengkujuh dan awal sesi persekolahan itu diadakan di jajahan Pasir Puteh melibatkan 50 penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan