WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM NAFI DAKWAAN FITNAH DI TIKTOK, TEGAS AKAN AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

30/01/2026 06:40 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan berunsur fitnah yang tular menerusi platform TikTok menerusi satu akaun, yang menuduh agensi itu mengeluarkan “saman palsu”. 

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hantaran berkenaan mengandungi tohmahan tidak benar, mengelirukan serta berpotensi menjejaskan kredibiliti dan reputasi suruhanjaya itu sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, hantaran berkenaan antara lain menuduh bahawa satu “saman palsu” telah diserahkan oleh pegawai SPRM serta melabelkannya sebagai scam atau penipuan.

“SPRM telah mengeluarkan tuntutan supaya permohonan maaf terbuka dibuat dan hantaran fitnah tersebut diturunkan serta-merta. 

“Sekiranya individu berkenaan gagal mematuhi tuntutan ini, tindakan undang-undang akan diambil bagi melindungi imej dan reputasi SPRM,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan pihaknya telah memperoleh izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu berkenaan, dengan pertuduhan dijadualkan pada 5 Feb ini, melibatkan dakwaan rasuah berkaitan aktiviti counter setting atau caturan kaunter imigresen.

SPRM turut menegaskan semua siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau berunsur fitnah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan