WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TFC ENGGAN BERI LALUAN MUDAH KEPADA SKUAD THE RED GIANTS

31/01/2026 11:01 AM

KUALA NERUS, 31 Jan (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan bertekad untuk tidak memberi laluan mudah kepada Selangor FC apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bagi perlawanan Liga Super malam esok.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata beliau menyedari tugas sukar yang bakal dihadapi skuad Penyu apabila berhadapan pasukan Selangor FC yang sedang berada di tahap prestasi terbaik di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.

Bagaimanapun Tengku Hazman berkata beliau tetap percaya dengan kemampuan anak buahnya yang mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia baru-baru ini.

"Saya hormati Kim Pan Gon sebagai jurulatih yang berpengalaman luas, malah beliau juga adalah bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara.

"Namun, itu tidak bermakna saya akan memberi laluan mudah untuk beliau datang ke sini. Insya-Allah kita akan berjuang habis-habisan untuk kutip tiga mata di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Tengku Hazman berkata beliau sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak mengulangi kesilapan sama yang menyebabkan mereka tewas 2-5 di tangan Selangor FC pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ogos lepas.

Beliau berkata pemain perlu menebus kekalahan lalu dan mengutip mata penuh bagi memperbaiki kedudukan di tangga liga, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada akhir musim ini.

"Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan baik dan bebas kecederaan. Jadi saya mungkin tidak akan membuat rombakan besar pada barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam esok.

"Saya mahu pemain lebih berdisiplin dan fokus pada kekuatan sendiri serta tidak terlalu memikirkan pihak lawan," katanya.

Tengku Hazman berkata sandaran juga diletak di bahu penyerang import baharu TFC, Garvane Kastaneer yang akan membuat penampilan pertamanya pada malam esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan