WILAYAH - UTARA > BERITA

PENERBANGAN TERUS QINGDAO-PULAU PINANG BERMULA 31 MAC - EXCO

31/01/2026 02:55 PM

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang bakal memperkukuh ketersambungan udara menerusi pelancaran penerbangan terus baharu dari Qingdao, China ke negeri ini bermula 31 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pembukaan laluan itu sekali gus meningkatkan pelancongan dan menggalakkan pertukaran hubungan rakyat dengan rakyat, dengan tiket penerbangan sudah boleh dibeli melalui laman web rasmi syarikat Qingdao Airlines.

“Qingdao akan menjadi bandar paling utara di China yang kini mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang.

“Pengumuman ini (pembukaan penerbangan) dilakukan pada permulaan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menjadi pemangkin yang tepat pada masanya dan bermakna kepada sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penerbangan Qingdao-Pulau Pinang (QW923) akan berlepas dari bandar itu pada 9 pagi dan tiba di Pulau Pinang pada 3.35 petang, manakala penerbangan pulang (QW924) akan berlepas dari Pulau Pinang pada 4.35 petang dan tiba di Qingdao pada 10.55 malam hari sama.

Penerbangan berkenaan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu.

Wong berkata perbincangan untuk meningkatkan hubungan dengan Wilayah Shandong telah bermula pada Jun 2024, iaitu semasa beliau mengadakan pertemuan dengan delegasi daripada Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Kerajaan Rakyat Wilayah Shandong, yang berkongsikan usaha mereka untuk memperluas penglibatan dengan Asia Tenggara.

Beliau berkata penglibatan awal itu telah menjadi asas kepada pembukaan laluan penerbangan terbabit, apabila pasukan Penang Global Tourism mengadakan lawatan ke Qingdao pada awal Disember lepas bagi perbincangan bersama Qingdao Airlines, disusuli dengan lawatan rasmi beliau ke Qingdao bulan ini bagi memuktamadkan butiran operasi serta meneroka inisiatif promosi pelancongan bersama.

Menurut Wong, menerusi pelancaran penerbangan Qingdao bermula 31 Mac dan penerbangan Chongqing-Pulau Pinang oleh Chongqing Airlines pada 8 April, rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang akan berkembang kepada 22 bandar antarabangsa dengan penerbangan terus termasuk Bangkok, Taipei, Guangzhou, Shanghai, Hong Kong, Singapura, Dubai dan Doha, selain penerbangan sewa khas dari beberapa bandar di China.

Pulau Pinang, katanya kini mempunyai penerbangan terus yang menghubungkan enam bandar di China iaitu Chengdu, Xiamen, Guangzhou, Shenzhen, Hong Kong dan Shanghai.

Beliau berkata pertambahan Qingdao dan Chongqing akan menjadikan kedua-duanya sebagai bandar ketujuh dan kelapan di China yang mempunyai hubungan penerbangan terus ke Pulau Pinang, sekali gus membentuk rangkaian menyeluruh yang merangkumi China Timur, Selatan dan Barat Daya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan