WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KILAUAN PEDATI EMAS DAN PERAK BERSAMA 90 KAVADI BURUNG MERAK WARNAI CHETTI PUSAM

31/01/2026 01:23 PM

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Sambutan ‘Chetti Pusam’ di Pulau Pinang tampil memukau dengan keindahan pedati yang dihias serba indah serta perarakan penuh warna-warni, diiringi 90 kavadi burung merak mengelilingi pedati perak komuniti Chettiar sempena Thaipusam.

Sambutan Thaipusam di negeri ini terus menambat hati apabila pedati emas yang mula diperkenalkan pada 2017 tampil megah membawa vel atau lembing, senjata suci Dewa Murugan dengan memulakan perjalanan seawal 6 pagi dari Lebuh Queen menuju ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga.

Kilauan emas pedati yang dihiasi ukiran halus, limpahan cahaya keemasan serta bunga-bungaan berwarna-warni mencipta suasana penuh simbolik, disaksikan ribuan penganut serta pelancong tempatan dan antarabangsa yang membanjiri laluan perarakan.

Kira-kira sejam kemudian, tumpuan beralih kepada pedati perak berusia 132 tahun yang tidak kurang mempesonakan apabila pedati bersejarah itu membawa arca Dewa Murugan dan bergerak dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun.

Pemegang Amanah Kuil Nattukottai Chettiar PRC Veerappan berkata pedati perak yang dibina di Karaikudi, Tamil Nadu, India, dan dihantar ke Pulau Pinang pada Januari 1894 itu ditarik oleh dua lembu jantan secara bergilir-gilir.

Beliau berkata sebanyak 16 pasang lembu jantan digunakan dan ditukar kira-kira setiap 500 meter bagi memastikan kebajikan haiwan terbabit terpelihara.

Penggunaan lembu jantan dalam perarakan pedati merupakan tradisi sebagai penghormatan kepada ‘Nandi’, iaitu lembu suci yang dianggap sebagai pelindung kepada keluarga Dewa Shiva dalam tradisi Hindu. Dewa Murugan adalah anak kepada Dewa Shiva.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang laluan dari Lebuh Queen hingga ke kuil di Jalan Kebun Bunga dipenuhi lautan manusia yang setia menanti, dengan alunan muzik tradisional India seperti ‘Thavil’ dan ‘Natheswaram’ serta pelbagai tarian tradisional India mengiringi pergerakan pedati.

Kedua-dua perarakan pedati emas dan perak itu dijangka tiba di destinasi masing-masing pada awal pagi Ahad, bersempena sambutan Thaipusam yang diraikan esok.

Dalam pada itu, ratusan ribu biji kelapa turut dilonggokkan di sepanjang Jalan Magazine dan Jalan Datuk Keramat sebelum dipecahkan sebagai sebahagian ritual keagamaan, sekali gus menjadi antara tarikan utama sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.

Ritual tersebut bukan sahaja disertai penganut Hindu, malah turut menarik penyertaan kaum Cina, Benggali serta pelancong asing yang sanggup menunggu berjam-jam di sisi longgokan kelapa, menanti ketibaan pedati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi Bernama berkata keadaan keselamatan setakat ini teratur dan terkawal dengan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.

Beliau berkata perarakan kedua-dua pedati juga berjalan mengikut jadual ditetapkan iaitu pedati emas pada 6 pagi diikuti pedati perak sejam kemudian serta dipantau rapi pihak polis.

Beliau turut menasihati penganut yang menyertai perarakan Thaipusam agar mengelak daripada memakai barangan kemas berlebihan serta sentiasa berwaspada demi keselamatan diri dengan mengambil iktibar daripada kejadian jenayah sebelum ini.

“Kita tidak mahu berlaku seperti tahun lepas apabila ada sindiket dari Sri Lanka yang memotong barang kemas penganut menggunakan gunting, jadi kita harap kalau boleh penganut tidak perlu memakai barang kemas, tetapi jika pakai pun jangan berlebihan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan kuil, sukarelawan, agensi keselamatan dan semua pihak yang bekerjasama menjayakan sambutan Thaipusam.

Beliau berkata Kuil Arulmigu Balathandayuthapani menjadi tumpuan utama di negeri ini bagi memperingati kemenangan Dewa Murugan menentang kejahatan, melambangkan ketaatan, disiplin diri dan kekuatan rohani dalam menegakkan kebaikan demi manusia sejagat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan