WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CERITA MALAYSIA KITA TAMPIL NARATIF BUDAYA, SOKONG TMM 2026

31/01/2026 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Inisiatif “Cerita Malaysia Kita” sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 menampilkan identiti klasik Malaysia sebagai simbol keunikan dan warisan negara dengan Sunway Theme Parks memainkan peranan sebagai hos utama program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks Calvin Ho berkata inisiatif bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bertujuan mempromosikan kisah serta budaya Malaysia kepada pelancong antarabangsa melalui pendekatan berasaskan pengalaman.

“Tahun ini penting kerana TMM 2026 dan kami mahu bersama-sama MOTAC dalam mempromosikan dan menceritakan kisah baik dari Malaysia,” katanya ketika temu bual di Bernama Mobile Studio di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, semalam. 

“Cerita Malaysia Kita” yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Surf Beach, Sunway Lagoon semalam, ialah usaha menyatukan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk mempromosikan jenama Malaysia pada peringkat global secara lebih bersepadu.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perkongsian (MoP) antara Sunway Lagoon, Tourism Malaysia dan rakan korporat bagi menyokong inisiatif Sunway Tiny Toys serta Program Pasport Tarikan Malaysia (MAP) seiring dengan TMM 2026.

Meraikan warisan Malaysia dengan barangan koleksi yang autentik dan mengukir memori, Sunway Tiny Toys menampilkan infrastruktur dan institusi negara, seumpama Shinkansen bagi Jepun atau Tembok Besar China bagi China, untuk membentuk naratif golongan muda.

Rakan kongsi Sunway Tiny Toys termasuk Keretapi Tanah Melayu (KTMB), Pos Malaysia, Mamee‑Double Decker, Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON), Farm Fresh, Eraman Malaysia, Oriental Kopi, SUPER GT Malaysia, Toyest Holdings Limited dan The Weststar Group.

Sementara itu, Ho berkata program MAP melibatkan rakan strategik terdiri daripada jenama tempatan ikonik seperti Aquaria KLCC, Petrosains dan Farm Fresh, dengan pihaknya berhasrat menarik lebih banyak pihak menyertai inisiatif itu pada masa depan.

“Pelancong boleh membeli pasport dan sangat mudah untuk mereka melawat semua tarikan yang disediakan dalam masa sekurang-kurangnya sehari,” katanya. 

Beliau juga menyifatkan pelancaran “Cerita Malaysia Kita” oleh Perdana Menteri sebagai penghormatan besar kerana sokongan pimpinan kerajaan juga pemangkin kepada kejayaan inisiatif tersebut.

Selain itu, Ho berkata taman tema juga berperanan sebagai antara tarikan utama negara dalam menyokong agenda TMM 2026 dan kerjasama erat semua pemain industri pelancongan penting bagi menarik kedatangan pelancong asing secara berterusan.

“Saya berpandangan pelancongan bukan hanya satu pihak, tetapi semua tempat tarikan, hotel dan destinasi pelancong perlu bersama-sama untuk menunjukkan bahawa Malaysia bersatu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan