WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELIHARA KEHARMONIAN, KEPELBAGAIAN SEBAGAI JATI DIRI NEGARA - AHMAD ZAHID

31/01/2026 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keharmonian yang Malaysia kecapi hari ini lahir daripada sikap saling menghormati serta kesediaan untuk berkongsi ruang sebagai sebuah negara yang berpaksikan perpaduan.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di akaun X berkata nilai itu mesti terus dipelihara agar keamanan dan kestabilan negara kekal terjamin untuk generasi akan datang.

“Kepelbagaian budaya dan agama antara asas utama yang membentuk jati diri negara. Dalam perbezaan, kita belajar untuk saling memahami. Dalam kepelbagaian, kita menemukan kekuatan untuk terus hidup sebagai satu masyarakat yang bersatu,” katanya.

Dalam hantaran itu, beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia yang meraikannya, dan berharap semoga perpaduan yang dikecapi negara terus dipelihara agar Malaysia kekal aman, stabil serta sejahtera untuk generasi hari ini serta masa hadapan.

Sementara itu, beberapa menteri Kabinet menerusi hantaran di media sosial masing-masing turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Thaipusam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata ibadat Thaipusam bukan sekadar perayaan semata-mata, sebaliknya satu perjalanan kerohanian yang sarat dengan nilai keimanan, ketabahan serta pengorbanan dalam menempuh cabaran kehidupan.

Beliau turut berharap penganut Hindu dapat menghayati semangat sambutan Thaipusam bersama keluarga, sahabat handai dan kenalan selain mendoakan keselamatan mereka yang menunaikan nazar dalam menempuh perjalanan suci ke Batu Caves serta kuil-kuil lain.

“Bagi penganut semoga setiap langkah yang dihayun dipenuhi keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan.

“Semoga setiap doa yang dipanjatkan membawa ketenangan jiwa, harapan baharu serta kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan penuh semangat dan keyakinan. Pastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang diraikan dalam suasana saling menghormati menjadi asas kekuatan negara, sekali gus mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai kemanusiaan, keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan.

Ramanan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas keselamatan dan sukarelawan, khususnya sukarelawan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang bertugas demi memastikan kelancaran dan keselamatan sambutan itu.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berharap perayaan itu memberi ruang kepada penganut Hindu untuk menghayati pengabdian, ketabahan dan pembaharuan, sekali gus menjadi peringatan kuat bahawa dengan rasa percaya dan tekad dapat mengatasi sebarang cabaran.

“Semoga sambutan Thaipusam anda dipenuhi dengan kedamaian, kemakmuran dan detik-detik gembira bersama insan tersayang,” katanya di aplikasi X.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran pula menyifatkan sambutan itu mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas kepada keharmonian serta identiti nasional Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Beliau berkata dalam konteks masyarakat berbilang kaum, keharmonian antara agama dan budaya perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, memahami serta meraikan perbezaan yang juga menjadi tunjang utama kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negara.

“Seiring dengan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional, pada tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah melancarkan Skuad Perpaduan MADANI yang julung kalinya digerakkan sempena perayaan ini.

“Penglibatan sukarelawan daripada pelbagai bangsa di gerai air percuma (thaneer panthal) di Batu Caves ini untuk membantu melancarkan perjalanan perayaan, di samping menjadi simbol jelas perpaduan, keprihatinan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan