WILAYAH - SARAWAK > BERITA

THAIPUSAM: POLIS PERAK TAHAN LELAKI MILIKI PISAU, TERBANGKAN DRON

01/02/2026 01:12 PM

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pisau pemotong sayur semasa sambutan Thaipusam di sekitar Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata suspek berumur 34 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi.

"Suspek memaklumkan memiliki pisau pemotong sayur itu dengan tujuan sebagai perlindungan diri.

"Bagaimanapun, mengambil kira suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah kekerasan dan dadah, jadi tidak rasional untuk suspek membawa pisau tersebut dan polis bertindak menahan suspek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Program High Profile Policing Polis Perak bersama-sama masyarakat bersempena dengan sambutan Thaipusam di pekarangan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini hari ini.

Mohammad Azlin berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, beliau berkata Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman telah menahan seorang lelaki berumur 80 tahun hari ini kerana menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semasa sambutan berkenaan di sekitar kawasan yang sama.

Beliau berkata bagaimanapun, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis, namun pihaknya merampas dron yang digunakan bagi tujuan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohammad Azlin berkata sebanyak 763 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang sambutan Thaipusam diadakan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan