WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR PULANG NAIK ETS3 KE IBU NEGARA USAI LAWATAN SANTAI KE JOHOR

02/02/2026 05:27 PM

JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa syukur selepas dua hari menikmati lawatan santai bersama keluarga di Johor sambil menyelami khazanah sejarah dan budaya negeri selatan tanah air itu.

“Alhamdulillah Johor, (selesai) melawat,” katanya ringkas ketika ditemui Bernama sebelum berlepas pulang dari Stesen JB Sentral ke Kuala Lumpur.

Turut menemani beliau isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Afzar Zakariya.

Perdana Menteri dan keluarga tiba di JB Sentral pada 3.27 petang sebelum dijadualkan menaiki perkhidmatan ETS pada 4 petang.

Anwar turut meluangkan masa berbual serta bergambar bersama pengunjung dan kakitangan di terminal berkenaan.

Beliau tiba di Johor Bahru kira-kira 3.10 petang semalam dengan menggunakan perkhidmatan sama.

Perdana Menteri meluangkan masa melawat Zoo Johor bersama cucu-cucunya, beramah mesra dengan pengunjung dan menerima penerangan mengenai perkembangan semasa premis tersebut. 

Beliau turut berharap agar zoo berkenaan terus diperkasakan sebagai aset rekreasi, pendidikan dan warisan negeri yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Pagi tadi, Perdana Menteri melawat Muzium Diraja Abu Bakar yang menghimpunkan khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor.  

Anwar dalam hantaran Facebook memuji usaha Kerajaan Negeri Johor atas ikhtiar berterusan dalam menaik taraf aset warisan serta memperhebat tarikan pelancongan negeri sejajar aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan