JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) -- Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, di sini hari ini.
Komander Operasi Pegawai Bomba (PB) Roger Ribut berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.51 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, pihak polis memaklumkan seorang nelayan tempatan berusia 77 tahun terjatuh ke dalam laut ketika sedang memasang jaring.
“Barangan peribadi dan bot milik mangsa telah ditemui dalam keadaan enjin masih hidup serta hanyut sehingga ke persisiran berhampiran sebuah kapal kuari di limbungan (yard) tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu katanya PKO bertindak melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar limbungan menggunakan sebuah bot aluminium serta unit dron selain pencarian di kawasan persisiran pantai.
Mangsa kemudiannya ditemui orang awam pada 7.20 malam lebih kurang 200 meter dari pesisiran pantai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 7.55 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial