WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ZAKAT FITRAH DI PERAK DITETAPKAN RM10, RM16 DAN RM25 - TIMBALAN MUFTI

03/02/2026 12:50 PM

IPOH, 3 Feb (Bernama) -- Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi 1447H/2026M ditetapkan sebanyak RM10, RM16 dan RM25 seorang, berdasarkan jenis beras.

Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata kadar wajib RM10 adalah bagi mereka yang menggunakan beras super spesial tempatan dan beras super import.

"Bagaimanapun, kadar pilihan atau galakan RM16 adalah bagi pengguna beras perang, beras wangi, herba ponni dan beras rebusan, manakala kadar pilihan RM25 adalah untuk pengguna beras basmati, beras pulut, beras Jepun dan beras merah," katanya pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) Ahmad Nazim Md Tajuri.

Tahun lepas, kadar zakat fitrah bagi tiga beras berkenaan di Perak ditetapkan masing-masing RM10, RM16 dan RM27.

Pada sidang media, Zamri berkata kadar pilihan RM25 yang berkurang berbanding tahun lepas RM27 adalah kerana penetapan harga beras fitrah berkenaan berdasarkan kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam di Perak.

"Perbandingan harga dibuat daripada dua pihak yang ada peranan dalam penentuan harga beras. Pertama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Unit Kawal Selia Padi dan Beras, dibandingkan dengan kajian yang dibuat secara realiti kepada pusat-pusat perniagaan yang menjual beras.

"Maka, di situlah dibuat satu kesimpulan dan rumusan bagi harga ketiga itu (RM25) yang agak rendah daripada tahun lepas," katanya.

Berkenaan kadar zakat fitrah yang perlu dibayar, Zamri mengingatkan bahawa RM10 ialah kadar minimum, manakala RM16 dan RM25 pula kadar pilihan sahaja.

"Walaupun kadar pilihan, kita dapati bahawa rakyat di Perak mereka suka membayar berdasarkan beras apa yang dia makan, jadi itu lebih afdal sebenarnya, tetapi tidak menjadikan mereka yang bayar RM10 itu tidak sah (zakat fitrah), jadi diharapkan perkara itu difahami," katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazim berkata MAIPk melalui ZAPAR melantik 1,735 Penolong Amil Fitrah bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini, berbanding kira-kira 1,900 orang tahun lepas, dan orang ramai diingatkan menunaikan ibadah berkenaan kepada Penolong Amil Fitrah bertauliah yang dilantik pihak ZAPAR.

"Tahun lepas ialah tahun pertama kita menggunakan aplikasi, tahun ini kita akan tambah baik aplikasi melalui telefon dan juga laman web. Tahun lepas menunjukkan daripada RM15.2 juta bayaran (zakat fitrah) yang kita terima, separuh daripadanya bayaran menerusi dalam talian," katanya.

Bagi memudahkan urusan pembayaran, ZAPAR turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah dalam talian melalui aplikasi MAIPk Bestari dan portal dengan melayari https://bestari.maipk.gov.my atau ezakat.maipk.gov.my, termasuk perbankan Internet, e-dompet seperti Grab, Shopee serta platform digital lain.

MAIPk dalam kenyataan pula memaklumkan, ZAPAR turut menawarkan dana Wakaf Perak Al Ridzuan yang merangkumi sembilan projek wakaf, iaitu Wakaf Kediaman Pelajar Institusi Pengajian Tinggi, Wakaf Maahad Tahfiz, Wakaf Premis Niaga, Wakaf Rumah Inap, Wakaf Gerobok Makan, Wakaf Mesin Dobi Layan Diri, Wakaf Pengajian Al-Quran, Wakaf Pusat Dialisis dan Wakaf Am.

Selain itu, Zamri turut memaklumkan masyarakat supaya memberikan nasihat atau melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat 'geng plastik hitam', iaitu mereka yang sengaja tidak berpuasa pada Ramadan.

"Terlebih utama kepada peniaga-peniaga, mohon sangat peniaga kita walaupun buka pagi, tengah hari dan sebagainya untuk menjual (makanan dan minuman) kepada mereka yang tidak boleh puasa, silakan seperti anak-anak kecil dan sebagainya. 

"Tetapi, sekiranya kita menjual kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa, kita sudah bersubahat, kita sudah berdosa. Jadi kita mengharapkan perkara ini kuranglah berlaku dan diharapkan umat Islam peka dalam hal ini untuk melaksanakan satu daripada rukun Islam, insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan