WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KALANGAN SYARIKAT DIGESA URUS RISIKO MATA WANG SUSULAN PERGERAKAN RINGGIT - JOHARI

03/02/2026 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kalangan syarikat perlu mengurus risiko mata wang secara aktif melalui langkah lindung nilai dan strategi perniagaan yang sesuai, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata turun naik ringgit merupakan keadaan pasaran yang lazim dan sebahagian daripada kitaran ekonomi yang lebih luas manakala kesannya adalah berbeza mengikut sektor, bergantung kepada model perniagaan dan pendedahan pasaran.

“Walaupun pergerakan mata wang boleh menimbulkan cabaran kepada sesetengah pihak, hal itu juga memberi peluang kepada pihak lain.

“Perkara penting adalah perniagaan perlu mengurus risiko mata wang dengan berkesan melalui pelaksanaan strategi yang sesuai seperti lindung nilai, perlindungan rantaian bekalan dan pengurusan pelanggan,” katanya selepas merasmikan Pusat Pengalaman GD Xchange di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai pengukuhan ringgit minggu lepas, yang buat kali pertama mencapai paras 3.9 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh tujuh tahun.

Johari berkata kesan pergerakan mata wang bergantung kepada jenis perniagaan contohnya perniagaan komoditi dan berkaitan pengguna memerlukan pendekatan berbeza dalam mengurus risiko mata wang.

Mengenai keputusan Malaysia menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS, beliau berkata langkah itu merupakan tindakan pragmatik bertujuan mengelakkan pengenaan tarif yang lebih tinggi serta melindungi kepentingan ekonomi negara.

“Pemeteraian perjanjian ini memberi ruang dan masa untuk Malaysia merundingkan terma, manakala kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kenaikan tarif serta-merta yang akan menjejaskan eksport dan ekonomi secara keseluruhan.

“Kerajaan telah menilai kos dan manfaat dengan teliti sebelum menandatangani perjanjian ini, dan perlu diberikan perhatian bahawa perjanjian ini merangkumi ‘exit clause’ sekiranya tidak lagi memenuhi kepentingan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata keutamaan ART adalah untuk memastikan perniagaan yang beroperasi di Malaysia dilindungi dan ekonomi kekal berdaya tahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan GDEX Bhd, Teong Teck Lean berkata pengukuhan ringgit secara amnya adalah positif bagi pihaknya.

“Ringgit yang lebih kukuh membantu mengurangkan kos bagi perkhidmatan yang ditetapkan dalam dolar AS seperti lesen perisian dan langganan teknologi, sekali gus menjadikannya lebih berpatutan berbanding ketika ringgit berada pada paras lebih rendah.

“Dari sudut bakat, ringgit yang lebih kukuh juga boleh membantu pengekalan tenaga kerja, kerana jurang gaji antara Malaysia dan pasaran negara jiran menjadi lebih kecil, dan mengurangkan dorongan untuk bakat berhijrah ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian itu.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik pengukuhan ringgit kerana prestasi itu menyokong kecekapan kos khususnya dari segi teknologi tanpa memberi kesan negatif yang besar kepada operasi teras syarikat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi GDEX, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

GD Xchange merupakan cabang teknologi GDEX, yang mewakili transformasi kumpulan daripada penyedia perkhidmatan kurier dan logistik konvensional kepada ekosistem logistik dan pengedaran bersepadu sepenuhnya yang dipacu teknologi.

GD Xchange menghimpunkan pihak teknologi global, rakan saluran dan penjual semula merentas bidang penting merangkumi rantaian bekalan dan perdagangan, keselamatan siber, langganan awan, penyelesaian ruang kerja, peranti pintar dan kesalinghubungan, serta ekosistem kenderaan elektrik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan