Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi bakal mengadakan lawatan ke Malaysia, menandakan hasrat New Delhi untuk memperkukuh pengaruh strategik dan politiknya di Asia Tenggara ketika persaingan kuasa besar dunia semakin meningkat, kata seorang ahli akademik.
Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan, Fakulti Sains Sosial, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Chee Meng Tan berkata India melihat Malaysia bukan sahaja sebagai rakan kerjasama, malah sebagai pintu masuk penting ke rantau ASEAN yang lebih luas.
“Saya fikir India sedang mencari rakan strategik dan pada masa sama mahu meningkatkan pengaruh serta kehadirannya di rantau ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bernama World pada Selasa.
Tan berkata Asia Tenggara semakin mendapat perhatian kuasa besar sejak kebelakangan ini, sekali gus menjadikan kedudukan geopolitik Malaysia lebih penting apabila penglibatan China, Amerika Syarikat (AS) dan negara lain semakin rancak.
Mengenai sama ada India sedang meletakkan dirinya sebagai kuasa pengimbang di rantau ini, beliau berpendapat peranan itu secara umumnya dialu-alukan oleh negara ASEAN yang mahu mengelakkan diri daripada terperangkap antara kuasa besar yang bersaing.
“Kita tidak mahu berada dalam keadaan tersepit antara AS dan China, jadi kehadiran India sebagai kuasa pengimbang sememangnya sesuatu yang dialu-alukan,” katanya.
Beliau menambah bahawa negara ASEAN tetap berhati-hati terhadap penjajaran rasmi dan terus menekankan kepentingan mengekalkan pendirian berkecuali, tanpa dilihat secara terbuka memihak kepada AS, China atau India.
Tan berkata Malaysia juga mempunyai kelebihan strategik berdasarkan kedudukan geografinya dan peranannya dalam ASEAN, khususnya kerana berhampiran Selat Melaka, laluan maritim penting dunia.
“Kita mungkin bukan negara yang besar, tetapi jika dilihat kepada Selat Melaka, ia pada asasnya dikawal oleh tiga pihak -- Indonesia, Malaysia dan Singapura,” katanya.
Dr Tan berkata lokasi strategik Malaysia bermakna negara ini akan terus menjadi tumpuan kuasa besar.
“Jika Malaysia memainkan peranannya dengan baik, saya berpendapat kita berada dalam kedudukan yang sesuai untuk membuat tuntutan tertentu pada masa hadapan,” tambahnya.
Modi dijangka tiba di Malaysia hujung minggu ini, dengan penganalisis melihat lawatan itu sebagai usaha penting untuk memperkukuh hubungan dengan Kuala Lumpur serta rantau ASEAN secara keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial