WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SCIB BATALKAN KEMUDAHAN PEMBIAYAAN MIDF SUSULAN PELUPUSAN BAHAGIAN PEMBUATAN

03/02/2026 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd (SCM) mengeluarkan notis pembatalan kepada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Notis tersebut melibatkan Kemudahan Pembiayaan Berjangka-i sehingga RM49.0 juta yang sebelum ini diluluskan di bawah Skim Pembiayaan Mudah bagi Automasi dan Pemodenan, kata SCIB dalam satu kenyataan. 

Ia berkata pembatalan itu juga susulan pengumuman SCIB pada 2 Okt, 2025 dan 18 Nov, 2025 berhubung cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam SCM kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd.

Pelupusan berkenaan dijangka membuka nilai yang ketara kepada syarikat selain mengukuhkan kedudukan kewangan SCIB, dengan menyediakan baki tunai bersih serta tahap kadar hutang yang lebih rendah.

“MIDF telah mengakui penerimaan notis berkenaan dan mengesahkan pembatalan itu berkuat kuasa mulai 29 Jan, 2026. Setakat 3 Feb, 2026, tiada sebarang pengeluaran atau penggunaan dibuat di bawah kemudahan tersebut dan tiada obligasi kewangan atau obligasi lain yang masih tertunggak berkaitan kemudahan berkenaan,” katanya.

Berikutan cadangan pelupusan SCM itu,  lembaga pengarah telah menilai semula keperluan pembiayaan syarikat dan menentukan bahawa kemudahan tersebut tidak lagi diperlukan.

Akibatnya, pembatalan tersebut mencerminkan modal dan struktur operasi syarikat yang dikemas kini berikutan pelupusan cabang pembuatannya.

Pengerusi Eksekutif SCIB Datuk Chong Loong Men berkata pelupusan itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan secara ketara serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan luaran.

“Keputusan ini mencerminkan tumpuan berterusan kami terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kecekapan modal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan