WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BENTENG AWAL KESELAMATAN MAKANAN: VAKSIN TEMPATAN YANG MENGUBAH INDUSTRI AYAM NEGARA

04/02/2026 12:23 PM


From Muhammad Basir Roslan

Pada awal 1990-an, industri penternakan ayam negara berdepan krisis apabila berlaku peningkatan kes kematian ternakan secara tiba-tiba, yang mengancam kestabilan pasaran dan juga keterjaminan makanan kerana industri itu bukan lagi sekadar subsektor pertanian tetapi antara tunjang bekalan protein negara. 

Insiden itu diakibatkan oleh penyakit bursa berjangkit (IBD) atau gumboro, yang pertama kali dilaporkan di Delaware, Amerika Syarikat pada 1957, sebelum merebak ke serata Eropah pada 1980-an. Menjangkiti ayam muda berusia tiga hingga enam minggu, penyakit ini mempunyai kadar jangkitan yang sangat tinggi dengan kadar kematian hampir 100 peratus, sekali gus berisiko melumpuhkan keseluruhan rantaian pengeluaran ayam sesebuah negara.

Ayam yang terselamat pula berisiko mengalami kerosakan kekal sistem imun, menjadikan ia lemah dan tidak responsif terhadap vaksin lain, mendedahkan mereka kepada penyakit sekunder yang seterusnya meningkatkan lagi kos penternak.

 

LAHIRNYA VAKSIN TEMPATAN

Insiden IBD yang kali pertama dikesan di Malaysia pada 1991 itu bagaimanapun membawa hikmah tersendiri, iaitu kelahiran seorang pakar patologi veterinar tempatan.

Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo yang ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang patologi veterinar di University of Liverpool, United Kingdom, menjadi penyelidik pertama yang mengesan dan melapor kes IBD di negara ini.

pic-5

Bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM) hingga kini, beliau ditugaskan mengendali penularan penyakit IBD yang seterusnya membawa kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi menangani gumoro secara sistematik.  

“Ketika itu kita berdepan dengan strain virus yang sangat ganas. Vaksin sedia ada tidak lagi mencukupi untuk melindungi ayam, terutamanya di ladang komersial berskala besar,” kongsinya, mengimbau sejarah tersebut ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Untuk menghasilkan vaksin, penyelidik perlu terlebih dahulu mengkaji virus tersebut, dan pada 1993, Mohd Hair dan kumpulannya berjaya mengasingkan strain virus IBD, atau isolat, daripada sampel sebenar yang diambil di ladang ayam UPM.

 “Kita perlu ambil sampel dari ladang tempatan kerana strain virus memainkan peranan besar dalam keberkesanan vaksin. Jika strain tidak sepadan dengan vaksin, perlindungan tidak optimum,” jelasnya.

Namun kejayaan menghasilkan isolat UPM93 itu hanya aspek asas dalam pembangunan vaksin, kerana beliau dan pasukannya bertungkus-lumus hampir 13 tahun lagi sebelum vaksin MyVac IBD UPM93  terhasil dan berjaya dikomersialkan pada 2005. 

Kejayaan itu juga menjadi asas penghasilan vaksin kedua MyHatch UPM93 yang mengambil masa enam tahun bermula 2009 dan dipasarkan pada 2015. 

 

KELEBIHAN TERSENDIRI

Mengulas lanjut, Mohd Hair berkata kedua-dua vaksin keluaran tempatan itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan yang sedia ada di pasaran.

“ Antara kelebihan MyHatch (dan MyVac) berbanding vaksin lain yang ada ialah, ia menggunakan virus hidup yang dilemahkan, yang mampu merangsang imuniti hampir sama seperti jangkitan sebenar. Tambahan pula, strain virus yang digunakan adalah strain tempatan yang sama dengan virus di ladang, menjadikan vaksin ini lebih tepat sasaran dan lebih berkesan berbanding vaksin yang menggunakan strain luar atau tidak sepadan,” jelasnya.

pic-2

Dari segi penggunaan pula, beliau berkata tidak berpegang pada pendekatan “one-size-fits-all”, vaksin itu disesuaikan mengikut saiz ladang dengan MyVac untuk kegunaan ladang kecil dan sederhana, sementara MyHatch bagi ladang berskala besar yang mempunyai sistem integrasi dan automasi.

“Berbeza dengan MyVac yang hanya boleh diberikan melalui air bancuhan minuman di ladang bagi ayam yang berumur 10 hingga 14 hari, MyHatch UPM93 pula diberikan melalui suntikan automatik di pusat penetasan, iaitu sebaik sahaja anak ayam menetas dari telur.

“Suntikan MyHatch dapat memastikan setiap anak ayam menerima dos yang tepat dan seragam dengan perlindungan bermula seawal hari pertama kehidupan,” jelasnya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata antibodi akan terbentuk dalam tempoh lima ke tujuh hari, iaitu satu fasa kritikal ketika anak ayam paling mudah terdedah kepada jangkitan penyakit.

Menurut beliau, kedua-dua vaksin itu juga dalam proses pemasaran di luar negara, antaranya  Indonesia, Iran, Arab Saudi serta Rusia, dan kini di peringkat pendaftaran dengan pihak berkuasa berkaitan di negara-negara terbabit.

 

ISU ANTIBIOTIK DAN KESIHATAN AWAM

Pembangunan vaksin tempatan itu turut berkait rapat dengan isu kebolehrintangan antibiotik atau AMR. Apabila sistem imun ayam rosak, penternak terpaksa bergantung pada antibiotik untuk merawat jangkitan sekunder yang turut berisiko mencetuskan AMR, iaitu keadaan di mana antibiotik tidak lagi berkesan membendung jangkitan.

Justeru, dengan adanya vaksin yang berkesan, keperluan pada antibiotik dapat dikurangkan, sekali gus menyokong usaha nasional dan global dalam membendung AMR.

pic-2

“Ini bukan sahaja baik untuk ladang, tetapi juga untuk kesihatan awam,” tambah Mohd Hair, sambil menegaskan kepentingan melaksanakan pendekatan “One Health” yang digagaskan Pertubuhan Kesihatan Dunia dalam menghubungkan kesihatan haiwan, manusia dan alam sekitar.

Berkongsi perkembangan terkini, beliau dan pasukan penyelidik sedang melakukan uji kaji teknologi lanjutan membabitkan In-Ovo Vaccination, ataupun suntikan vaksin terus ke embrio telur ayam, menjadikan perlindungan daripada penyakit berjangkit dapat bermula seawal telur tersebut menetas, dengan uji kaji ini berpotensi dikembangkan untuk menghasilkan produk baharu pada masa depan.

Menurutnya, langkah itu juga kritikal kerana virus sentiasa bermutasi, mewujudkan strain baharu dan membawa ancaman berbeza.

pic-6

“Kita kenal pasti strain terkini pada 2017, dinamakan Novel IBD virus, dan kita kini di fasa R&D calon virus yang sesuai,” katanya, menambah kejayaan pembangunan dua vaksin tersebut membuktikan inovasi tempatan mampu memberi impak besar apabila disokong oleh kerjasama erat antara universiti dan industri. 

“Paling utama kita kena perlu tingkatkan keyakinan dan kepercayaan kepada keupayaan penyelidik tempatan demi melindungi rantaian makanan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

 

MVP DAN PIAWAIAN BERTARAF GMP

Bagi memastikan vaksin berkualiti tinggi itu sampai ke pasaran, UPM bekerjasama dengan rakan industri, Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals Sdn Bhd (MVP), iaitu syarikat pengeluar vaksin veterinar terkemuka negara.

Pengarah Eksekutif MVP Rashidah Ibrahim berkata pengeluaran vaksin MyHatch UPM93 dilakukan di fasiliti bertaraf Good Manufacturing Practice (GMP) yang mematuhi piawaian antarabangsa termasuk World Organisation for Animal Health dan ASEAN GMP.

pic-3

“Pematuhan GMP memastikan setiap kelompok vaksin dihasilkan secara konsisten, selamat dan bermutu tinggi. Vaksin bukan produk yang boleh dikompromi dari segi kualiti,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ini, mereka mengeluarkan sekitar 100 juta dos setahun,  bersamaan perlindungan kepada kira-kira 100 juta ekor ayam. Untuk perspektif, data rasmi terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan ayam di Malaysia meningkat kepada sekitar 327.3 juta ekor pada 2024. 

“Dalam konteks ini, kapasiti 100 juta dos setahun bermakna MyHatch UPM93 mampu melindungi sebahagian besar populasi ayam yang diternak setiap tahun. Malaysia juga terkenal sebagai antara negara pengguna ayam tertinggi di dunia, dengan purata penggunaan sekitar 50 kilogram daging ayam dan 370 biji telur seorang setahun,” tambah Rashidah.

Kesan vaksinasi yang berkesan jelas kelihatan di ladang apabila ayam lebih sihat, membesar dengan baik dan mencapai berat pasaran dalam tempoh disasarkan.

“Apabila feed conversion ratio menjadi lebih baik dan kadar kematian berkurang, hasil ladang menjadi lebih stabil. Apabila penyakit dapat dikawal, bekalan ayam kekal mencukupi, harga lebih terkawal dan pengguna mendapat akses kepada protein yang mampu milik,” katanya lagi.

Bagi terus memperkukuh pelaksanaan di peringkat ladang, beliau berkata pihaknya menyediakan sokongan teknikal secara berterusan menerusi seminar, jeyawara dan khidmat nasihat di lapangan.

“Hasil pendekatan inilah wabak IBD semakin jarang dilaporkan. Namun, keadaan ini bukan bermakna penyakit tersebut sudah lenyap... ia masih wujud dan boleh menjadi ancaman kepada sekuriti makanan negara. Virus ini boleh bertahan lama dalam persekitaran ladang, sebab itu vaksin mesti diberikan pada setiap kitaran ternakan,” tegas beliau.

 

PERANAN DVS BANGUNKAN VAKSIN TEMPATAN

Sebagai institusi utama yang menyokong pembangunan vaksin di negara ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melalui Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, Perak sentiasa berusaha memperkukuh usaha sama antara penyelidik universiti dan rakan industri. 

Menurut DVS dalam kenyataan kepada Bernama, mereka antara lain menyediakan garis panduan berkaitan pendaftaran vaksin veterinar, selain menjadi pemudah cara proses pendaftaran dan kelulusan vaksin hasil penyelidikan tempatan.

pic-4

DVS turut memainkan peranan penting dengan membantu dari segi perkongsian maklumat, memberikan latihan teknikal tertentu apabila diperlukan dan menyediakan kemudahan Ujian Keselamatan produk vaksin. 

Buktinya, beberapa kolaborasi dengan pihak MVP telah berjaya dilaksanakan sebelum ini melibatkan penghasilan vaksin Pasteurella itik dan Newcastle Disease (ND), dengan DVS  menyediakan kemudahan benih vaksin dan fasiliti penghasilan vaksin untuk kegunaan industri.

“Langkah ini bukan sahaja mempercepat inovasi vaksin tempatan, tetapi juga meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap ancaman penyakit baharu, selari dengan cabaran perubahan iklim dan isu keselamatan makanan global,” katanya.

Bukan itu sahaja, melalui Projek Pembangunan Vaksin di bawah Rancangan Malaysia ke-12  yang baru berakhir tahun lepas, VRI telah berjaya menjalankan penyelidikan untuk  menambah baik vaksin ternakan sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Penyelidikan vaksin haiwan ini terbukti berhasil dalam memastikan kesihatan ternakan serta terus menjamin keselamatan sumber makanan negara, termasuk sektor ayam, kambing, dan biri-biri.

“Apabila semua usaha ini digerakkan secara berstruktur dan terancang bersama-sama semua pemain industri, barulah penghasilan vaksin untuk menangani virus strain tempatan akan dapat terus dipertingkatkan, sehingga akhirnya membolehkan perancangan stok bekalan yang lebih strategik dilaksanakan. Ini sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap wabak dan mengurangkan kebergantungan pada industri daging import”.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan