WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS RAMPAS KOPI, DAGING ITIK DAN BABI SEJUK BEKU BERNILAI LEBIH RM900,000

04/02/2026 11:14 PM

SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas daging babi dan itik sejuk beku serta biji kopi seberat 44.6 tan yang bernilai RM916,156.02 menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Klang, dekat sini. 

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua dagangan terbabit dirampas bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan serta memastikan aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara. 

“Daging itik dan babi sejuk beku tersebut berasal dari Eropah barat, diimport tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah, masing-masing melibatkan berat rampasan sebanyak 16.1 tan dan 24.9 tan. 

“Biji kopi pula dari negara Amerika Latin yang didapati diimport tanpa Perakuan FAMA 3P seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkaitan. Jumlah berat rampasan adalah sebanyak 3.5 tan dengan anggaran nilai RM100,608.33,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nik Ezanee berkata AKPS Pelabuhan Klang terus komited dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara. 

Kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan