KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 31 individu terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, lori dan treler di KM433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala selatan, berhampiran Rawang, awal pagi tadi.
Difahamkan tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun sekurang-kurangnya dua mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan dari kenderaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.12 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Rawang tiba di lokasi kejadian pada 5.21 pagi.
“Bas berkenaan membawa 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu.
"Pemandu bas iaitu lelaki tempatan berusia 39 tahun telah tersepit dan cedera pada bahagian kaki, namun berjaya dikeluarkan anggota bomba pada 6.05 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori bonded 10 tan itu turut dilaporkan tersepit, namun status kecederaannya belum dikenal pasti ketika operasi menyelamat dijalankan.
Ahmad Mukhlis berkata kelindan lori bonded berusia 39 tahun serta pemandu lori treler masing-masing cedera ringan, manakala beberapa mangsa lain turut dilaporkan cedera ringan.
Kesemua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat itu melibatkan 16 anggota bomba dengan bantuan jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Response Motorcycle (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa, serta Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Rawang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial