ISTANBUL, 4 Feb (Bernama-Anadolu) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan berturut-turut dengan Presiden Rusia dan Presiden Amerika Syarikat (AS), pada Rabu menurut Anadolu Ajansi .
Xi mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump, lapor Anadolu memetik laporan Xinhua.
Beijing bagaimanapun belum mendedahkan butiran lanjut mengenai perbualan antara Xi dan Trump, yang berlangsung beberapa jam selepas Presiden China itu mengadakan panggilan video secara maya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Ini merupakan perbualan telefon pertama Xi bersama Putin dan Trump bagi tahun ini.
Komunikasi Xi dengan kedua-dua pemimpin itu dibuat di tengah-tengah ketegangan antara AS dan Iran, serta usaha untuk menamatkan peperangan di Ukraine ketika fasa kedua rundingan tiga hala antara Kyiv, Moscow dan Washington bermula di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu.
“Sebagai negara kuasa besar yang bertanggungjawab dan ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China dan Rusia bertanggungjawab untuk menggembleng usaha global bagi menegakkan kesaksamaan dan keadilan.
Selain itu, kedua-dua negara perlu mempertahankan hasil kemenangan Perang Dunia Kedua, melindungi sistem antarabangsa berpusatkan PBB serta norma asas undang-undang antarabangsa, dan bersama-sama mengekalkan kestabilan strategik global,” kata Xi kepada Putin semasa sidang video berkenaan.
Walaupun hubungan antara China dan Rusia berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan jumlah dagangan mencecah kira-kira US$200 bilion tahun lepas, hubungan antara Beijing dan Washington dilihat mula stabil selepas pertemuan Xi dan Trump di Korea Selatan pada penghujung tahun lepas.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial