WILAYAH - TENGAH > BERITA

MALAYSIA BERPOTENSI PERCEPAT PROJEK BERKAITAN IKLIM - LIEW

05/02/2026 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia dilihat berpotensi untuk memacu projek berkaitan iklim dan menempatkan diri sebagai model global bagi penyelesaian iklim jika modal, dasar dan pembangunan pengetahuan diselaraskan dengan berkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata cabaran utama kini ialah usaha untuk mengalirkan modal ke arah inisiatif iklim yang boleh dipercayai serta merangka projek sedemikian bagi menarik pelabur antarabangsa.

“Dunia tidak kekurangan wang, tetapi cabarannya bagaimana menyalurkan modal ke arah usaha berkaitan iklim, serta bagaimana merangka dan menyampaikannya dengan berkesan, bukan sahaja untuk khalayak domestik tetapi juga pelabur antarabangsa. Itulah sumbangan berpotensi Malaysia.

“Kita melihat Malaysia mempunyai banyak potensi untuk memacu kemajuan secara pesat, dan satu daripada bidang utama yang berpotensi adalah projek berkaitan iklim,” katanya pada majlis pelancaran program bantuan teknikal Climate Finance Accelerator (CFA) hari ini.

CFA yang dibiayai United Kingdom (UK) dirangka untuk membantu projek iklim menjadi bersedia bagi pelaburan serta menyokong sasaran Malaysia mencapai sifar pelepasan bersih menjelang 2050.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma, turut hadir pada pelancaran program tersebut.

Mengulas lanjut, Liew berkata penglibatan Malaysia kini memasuki fasa baharu domestik dan antarabangsa, dengan peluang untuk memajukan inisiatif iklim dengan lebih pantas berbanding melalui laluan pembangunan tradisional.

Perubahan dinamik global, kata beliau, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai rakan kerjasama iklim yang dipercayai, dan pembinaan pengetahuan serta kepakaran tempatan amat penting untuk membangunkan penyelesaian di peringkat domestik dan serantau.

Beliau berkata antara bidang keutamaan yang berpotensi termasuk mempercepatkan peralihan tenaga, pengurusan bandar lestari, pengukuhan kebolehsusulan rantaian bekalan, amalan ekonomi kitaran, serta pembangunan ekosistem karbon termasuk cukai karbon dan sistem perdagangan pelepasan.

Liew pada masa sama berharap dengan kerjasama yang lebih erat, Malaysia dapat mengukuhkan kepakaran berkaitan iklim bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara, tetapi juga di peringkat ASEAN dan global.

Mengulas mengenai program berkenaan, beliau yakin dengan bantuan pembinaan kapasiti yang khusus ditawarkan CFA, program ini dijangka dapat merangsang inovasi penyelesaian iklim, memudahkan perniagaan mencapai keuntungan, serta memperkukuh asas bagi penglibatan pelabur yang memberi impak nyata.

"Kumpulan sasaran CFA ialah perniagaan dan usahawan rendah karbon, yang berada pada kedudukan unik untuk memperkukuh peranan perniagaan bertanggungjawab di Malaysia.

“Dengan menyertai CFA, mereka dapat menyuarakan sokongan bahawa pertumbuhan ekonomi boleh dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan