WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CADANGAN PENGAMBILAN TERUS PEKERJA ASING LANGKAH TEPAT - MAICCI

05/02/2026 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkenalkan laluan baharu yang membolehkan majikan Malaysia menggaji pekerja asing secara terus adalah langkah tepat bagi menangani cabaran struktur sekian lama dihadapi oleh industri berintensifkan buruh.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) Datuk Seri N. Gobalakrishnan berkata pengumuman terbabit mencerminkan pendekatan lebih praktikal dalam pengurusan tenaga kerja, khususnya bagi sektor yang bergantung tinggi terhadap buruh asing seperti pembinaan, pengubahsuaian, perkhidmatan makanan, katering dan hospitaliti.

 Beliau berkata ramai majikan masih berdepan tekanan daripada pengendali tenaga kerja dan ejen tidak sah yang mengenakan bayaran tinggi bagi permohonan pengambilan pekerja asing walaupun sebelum kemasukan pekerja ke negara ini, sekali gus meningkatkan kos operasi perniagaan.

 “Meskipun Malaysia berusaha membina ekonomi berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan, realiti dihadapi oleh majikan adalah lebih sukar. Banyak perniagaan kini beroperasi dalam ekosistem pengambilalihan pekerja yang tidak menentu dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Gobalakrishnan berkata bagi sektor berintensifkan buruh, mendapatkan tenaga kerja asing yang boleh dipercayai, telus dan sah telah menjadi isu sistemik yang secara langsung menjejaskan kualiti projek, tempoh pelaksanaan dan kelangsungan perniagaan. 

Sementara itu, Ketua Wanita MAICCI Hemala Sivam berkata majikan kebiasaannya menanggung kos  awal yang tinggi bagi setiap pekerja asing termasuk levi, tiket penerbangan, pemeriksaan perubatan serta yuran pentadbiran.

Beliau berkata pelaburan sering terjejas apabila pekerja terbabit melarikan diri atau ‘dipancing’ subkontraktor haram yang menawarkan upah harian sedikit lebih tinggi.

Hemala berkata yuran pengambilan tinggi dan caj tersembunyi turut meningkatkan kos operasi manakala ramai pekerja asing yang tiba di Malaysia sudah dibebani dengan hutang ketika masuk ke negara ini.

Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata majikan negara ini tidak lama lagi akan dapat mengambil pekerja asing secara terus sebagai sebahagian daripada usaha KESUMA untuk menghapuskan orang tengah dalam proses pengambilan pekerja.

Beliau berkata platform pengambilan yang dicadangkan sedang diteliti dan akan dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkepentingan berkaitan, sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan