WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TNB RUGI HAMPIR RM30 JUTA AKIBAT AKTIVITI BITCOIN DI MELAKA

05/02/2026 06:54 PM

MELAKA, 5 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan kerugian sebanyak RM29.63 juta pada tahun lepas akibat kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin di Melaka.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata ia menunjukkan peningkatan kerugian sebanyak RM19.17 juta berbanding 2024 yang hanya merekodkan kerugian sebanyak RM10.46 juta.

“Sebanyak 85 kes turut dikesan pada tahun lepas berbanding 30 kes pada 2024, sekali gus menunjukkan kegiatan berkenaan semakin aktif di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Tambak Paya Harmoni yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di sini hari ini.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong berkata siasatan awal mendapati kabel elektrik disorok menggunakan kain langsir bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata TNB menganggarkan kerugian sebanyak RM8,000 sebulan berikutan aktiviti berkenaan yang turut menjejaskan bekalan elektrik ke tiga kediaman berdekatan.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat memandangkan rumah berkenaan kosong ketika serbuan dilakukan TNB dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga.

“Ia merupakan kes kedua berlaku di Melaka pada tahun ini selepas satu serbuan pada Januari lepas yang melibatkan dua unit premis kedai dengan anggaran kerugian mencecah RM1.6 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan