WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS THAILAND KERAH 126,000 ANGGOTA UNTUK KESELAMATAN PILIHAN RAYA

05/02/2026 08:39 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 5 Feb (Bernama) -- Lebih 126,000 anggota polis akan dikerahkan ke seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pilihan raya umum Thailand pada Ahad ini, menurut jurucakap polis.

Penolong Ketua Polis Negara Leftenan Jeneral Polis Yingyot Thepchamnong berkata pihak polis bimbang tentang kemungkinan pelanggaran undang-undang dan tindakan keganasan, terutamanya di beberapa kawasan berisiko tinggi.

"Langkah-langkah ketat telah dilaksanakan untuk menguruskan keselamatan, ketenteraman awam, memudahkan aliran trafik dan penguatkuasaan undang-undang mengikut pelan keselamatan pilihan raya dan ketenteraman awam Polis Diraja Thailand," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Jeneral Polis Kitrat Phanphet mempengerusikan mesyuarat untuk menyemak persediaan keselamatan dan ketenteraman awam bagi pilihan raya yang akan datang.

Dalam mesyuarat berkenaan, Kitrat mengarahkan semua unit polis memastikan tahap keselamatan maksimum di pusat mengundi serta bagi orang ramai, selain mengarahkan pegawai pemerintah menjaga kebajikan dan moral anggota serta memastikan pegawai memahami undang-undang dan prosedur berkaitan. 

"Semua anggota polis juga diingatkan supaya mengekalkan sikap berkecuali dalam politik," kata Yingyot.

Pusat Operasi Keselamatan Pilihan Raya dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Thailand akan beroperasi dari 13 Jan hingga 12 Feb untuk memantau keselamatan bagi semua aktiviti berkaitan pilihan raya di seluruh negara sehingga selesai pilihan raya dan referendum perlembagaan.

"Penekanan telah diberikan kepada operasi sebelum dan pada hari pengundian, termasuk langkah-langkah untuk mencegah pembelian undi, penjualan minuman beralkohol, dan pengangkutan peti undi," katanya.

Pada Ahad (8 Feb), pengundi akan memilih kesemua 500 ahli Dewan Perwakilan bagi tempoh empat tahun akan datang, bersama-sama referendum perlembagaan untuk mengukur sokongan awam terhadap penggubalan perlembagaan baharu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), 521 pusat mengundi ditubuhkan untuk pengundian dalam kawasan pilihan raya, 524 untuk pengundian luar kawasan, dan 22 pusat khas untuk pengundi warga emas dan orang kurang upaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan