WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKUAD TERJUN NEGARA BAKAL DIPERKUAT DUA JURULATIH RUSIA

06/02/2026 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Skuad terjun negara bakal diperkuat dengan kepakaran Rusia menerusi pelantikan dua jurulatih negara itu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata pada masa sama dua jurulatih tempatan berkemampuan dan berkelayakan turut akan dilantik.

Beliau berkata perkembangan lanjut akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Terjun yang dijadual berlangsung bulan ini.

“Pelantikan ini proses jangka panjang untuk melancarkan lagi barisan kejurulatihan yang mampan untuk kita bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Dalam masa terdekat, dua jurulatih Rusia akan datang dan jurulatih tempatan akan dilantik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025 di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Akuatik Malaysia (MAS) tidak menyambung kontrak dua jurulatih terjun dari China, Li Jun Bai dan Li Jun Song susulan tidak memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan.

Pada masa sama, Jefri menjangkakan tiada perubahan besar dalam barisan jurulatih kebangsaan memandangkan proses penilaian telah dijalankan tahun lepas bersama Akademi Kejurulatih Kebangsaan.

“Jadi, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN sudah habis, jadi kita tinggal teruskan dan kita boleh sambung dengan jurulatih-jurulatih yang memberi prestasi baik.

“Jurulatih-jurulatih yang tidak menunjukkan prestasi baik mereka tahu dalam kontrak mereka ada KPI masing-masing yang perlu mereka capai semasa Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN,” katanya.

Sementara itu, menjelang Sukan Asia dan Sukan Para Asia 2026 di Jepun pada September depan, Jefri berkata program dengan kelompok jurulatih tertentu telah bermula sejak tahun lepas sekali gus akan kekal menggalas tugas sehingga temasya sukan itu berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan