KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia membuahkan pelbagai hasil meluas yang bakal memperkukuh hubungan dua hala serta memberikan manfaat nyata kepada kedua-dua negara, kata Setiausaha (Timur) Kementerian Hal Ehwal Luar India, P. Kumaran.
Beliau berkata lawatan yang berakhir hari ini itu adalah signifikan kerana ia merupakan lawatan rasmi pertama Modi ke Malaysia dalam tempoh hampir sedekad sejak 2015, iaitu tahun di mana hubungan dua hala dinaik taraf kepada perkongsian strategik dipertingkat.
Mengimbas kembali lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada 2024, beliau berkata kunjungan itu telah memberi momentum baharu kepada kerjasama dua hala, yang menyaksikan perkongsian itu kemudiannya dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
"Ada sebab untuk kita berasa berpuas hati bahawa kerjasama ini berjalan dengan sangat baik. Hasil lawatan ini amat signifikan bukan sahaja kerana kepelbagaian subjek yang diliputi, malah impak positif yang akan dibawa kepada rakyat kita, sekali gus mencerminkan semangat sebenar perkongsian strategik komprehensif ini," katanya dalam satu taklimat mengenai kejayaan lawatan Modi ke Malaysia.
Kumaran berkata kedua-dua perdana menteri mengadakan perbincangan dua hala di Seri Perdana hari ini dengan menyemak semula kerjasama dalam pelbagai spektrum perkongsian termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, serta teknologi digital dan kewangan, tenaga boleh baharu, pendidikan, penjagaan kesihatan, budaya, pelancongan dan pertukaran antara rakyat.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global sebelum menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian dua hala serta memorandum persefahaman (MoU).
Ini merangkumi kerjasama dalam bidang semikonduktor, kesihatan dan perubatan, keselamatan, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), pengurusan bencana, keselamatan sosial dan kolaborasi audiovisual, serta pembaharuan MoU mengenai kerjasama pengamanan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengenai sistem pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan, Kumaran berkata perbincangan untuk menghubungkan Antara Muka Pembayaran Bersepadu (UPI) India dengan sistem pembayaran Malaysia sedang berjalan, walaupun inisiatif itu melibatkan pelbagai langkah teknikal dan jaminan keselamatan.
"Sebaik sahaja langkah teknikal selesai, ia akan dioperasikan," katanya sambil menambah bahawa pautan itu akan memberi manfaat terutamanya kepada pelancong dan pekerja melalui pembayaran serta kiriman wang rentas sempadan yang lancar.
Mengenai usaha menangani keganasan, Kumaran berkata kerjasama antara kedua-dua negara kekal teguh, disokong oleh kumpulan kerja bersama, dialog keselamatan dan mekanisme perkongsian risikan.
Modi mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Anwar, pada Ahad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial