WILAYAH - SARAWAK > BERITA

100 TERIMA SUMBANGAN MENERUSI PROGRAM CERIA RAMADAN DAN TAHUN BAHARU CINA 2026

09/02/2026 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sebanyak 100 asnaf, anak yatim dan warga emas di Parlimen Bandar Tun Razak serta penggiat seni tempatan yang kurang berkemampuan menerima sumbangan menerusi Program Ceria Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di sini, hari ini.

Program anjuran Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu diadakan bagi meringankan beban kewangan serta menyemarakkan keceriaan menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina, dengan semua penerima menerima wang tunai serta barangan keperluan asas.

Program itu dirasmikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin mewakili Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac.

Azman dalam ucapannya berkata program berkenaan adalah manifestasi kepada semangat perpaduan kaum, sekali gus membuktikan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan utama negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau memuji usaha FINAS yang bukan sahaja fokus kepada pembangunan industri kreatif tetapi juga sentiasa mengutamakan aspek kebajikan, sejajar dengan peranan agensi kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat secara menyeluruh.

“Inisiatif ini menzahirkan nilai kesejahteraan dalam kerangka Malaysia MADANI melalui keprihatinan sosial dan tanggungjawab bersama dalam menjaga golongan yang memerlukan,” katanya.

Pada sidang media selepas majlis itu, Hans Isaac berkata Program Ceria Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 bukan sahaja memperkukuh dimensi kebajikan industri kreatif, malah memperlihatkan kerjasama strategik antara FINAS dan Parlimen Bandar Tun Razak dalam memastikan bantuan disampaikan secara terus kepada golongan sasar.

“Program ini mencerminkan komitmen berterusan FINAS dalam memastikan pembangunan industri kreatif negara tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi tetapi turut merangkumi kebajikan dan kesejahteraan warga industri,” katanya.

Pada majlis itu, Briged Seni Kreatif Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menyalurkan sumbangan khas, iaitu masing-masing satu unit ambulans kepada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak untuk kegunaan komuniti setempat dan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS bagi manfaat penggiat industri kreatif.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Jamaludin Mat, 79, merakamkan penghargaan kepada Parlimen Bandar Tun Razak dan FINAS atas keprihatinan yang ditunjukkan, sambil menyifatkan bantuan berkenaan sebagai amat bermakna menjelang Ramadan.

Artis veteran Louisa Chong, 70, yang turut menerima sumbangan menerusi program itu berkata inisiatif berkenaan membuktikan bahawa kebajikan penggiat seni veteran tempatan tidak diabaikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan kepada golongan artis veteran tempatan ketika musim perayaan akan datang ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan