WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUALITI FILEM, MEKANISME DANA JADI KEUTAMAAN FINAS

09/02/2026 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Penambahbaikan mekanisme penyaluran dana serta peningkatan kualiti kandungan tempatan menjadi antara fokus utama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam memperkukuh industri kreatif negara tahun ini.

Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac berkata pihaknya turut menetapkan sasaran yang tinggi dalam merealisasikan hala tuju berkenaan sepanjang tahun ini.

“Jika pencapaian berada pada tahap 70 hingga 80 peratus, ia sudah dianggap baik, namun kami perlu menetapkan standard yang tinggi sejak awal,” katanya pada sidang media selepas Program Ceria Ramadan dan Tahun Baru Cina 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan mekanisme penyaluran dana adalah langkah penting bagi memastikan lebih ramai penggiat industri mendapat peluang, selain menjamin penggunaan dana awam secara berhemah dan menghasilkan kandungan berkualiti.

“Kita tidak mahu memberi dana kepada syarikat tetapi kandungan itu masih mungkin belum ke tahap antarabangsa. Jadi, kami akan pastikan produser eksekutif ditempatkan untuk mengurus dana ini supaya kandungan yang dihasilkan berkualiti tinggi. Apabila membelanjakan wang, ia dilakukan dengan bijak,” katanya.

Selain itu, Hans berkata FINAS turut memberi keutamaan kepada usaha memperbaharui dasar perfileman negara agar kekal relevan dengan perkembangan semasa industri kreatif.

Beliau berkata FINAS juga sedang berbincang dengan pihak pawagam untuk menambah baik struktur dan proses sedia ada bagi memastikan filem tempatan mendapat peluang tayangan yang lebih adil di pasaran domestik.

Mengulas pelaburan antarabangsa, beliau berkata aspek itu kekal menjadi keutamaan kerana memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan dalam industri kreatif tempatan.

“Apabila pelaburan dibawa masuk ke Malaysia, antara 20,000 hingga 25,000 penggiat industri kreatif mendapat peluang pekerjaan. Jika mereka dapat bekerja sekurang-kurangnya lapan bulan dalam setahun, ia sudah memenuhi matlamat kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan