WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MHS SEDIA KERJASAMA DENGAN KERAJAAN URUS RUMAH IBADAT HINDU SECARA SAH

09/02/2026 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Malaysia Hindu Sangam (MHS) bersedia bekerjasama dengan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rumah ibadat Hindu dipelihara, dihormati serta diurus secara sah selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menjunjung keadilan, ihsan dan keterangkuman.

Presidennya T. Ganesan berkata pihaknya menyokong prinsip kedaulatan undang-undang serta keharmonian antara agama sebagai asas kestabilan negara, selaras dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua rumah ibadat perlu mematuhi undang-undang, peraturan perancangan serta hak pemilikan tanah tanpa mengira agama atau kaum.

Bagaimanapun, beliau berkata isu kuil Hindu bukanlah isu baharu, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama dan berakar daripada faktor sejarah, warisan serta perkembangan sosioekonomi negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

“Banyak kuil Hindu telah wujud sejak puluhan, malah ratusan tahun dan berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadat, tetapi sebagai pusat kebudayaan, kebajikan dan identiti komuniti setempat. Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran.

“MHS menegaskan kewujudan kuil tanpa kelulusan formal sering berpunca daripada kekangan sejarah, kelemahan tadbir urus lampau, perubahan status tanah serta ketiadaan mekanisme penyelesaian yang jelas pada peringkat awal dan bukan semata-mata akibat keingkaran undang-undang oleh komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganesan berkata dalam Temple Townhall Meeting pada 6 April 2025, MHS telah mengemukakan satu memorandum komprehensif kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mencadangkan penubuhan sebuah badan pengawalseliaan rumah ibadat Hindu di bawah PMO, dengan penyeliaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hindu yang dipimpin MHS.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan menyediakan penyelesaian jangka panjang dan berstruktur, termasuk mekanisme pemutihan kuil yang mempunyai isu pemilikan tanah selaras dengan undang-undang, keadilan sosial serta realiti sejarah kewujudan kuil di Malaysia.

“MHS menyeru kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap memorandum tersebut dan memperkukuh pendekatan dialog, musyawarah serta pemutihan status kuil yang telah lama wujud, termasuk pewartaan tapak alternatif atau penyelesaian yang munasabah, berbanding tindakan yang bersifat tergesa-gesa dan boleh mencetuskan keresahan komuniti.

“MHS menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang laporan atau tafsiran yang boleh disalah anggap sebagai menyasarkan kuil atau mana-mana agama tertentu. Naratif sedemikian, jika tidak diperjelaskan, berisiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional,” katanya.

Beliau berkata selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama dan hak penganut untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing perlu dilindungi, manakala sebarang langkah penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara berperingkat, berunding dan sensitif dengan mengambil kira implikasi sosial serta keharmonian antara agama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan