WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUMAH IBADAT ATAS TAPAK TIDAK SAH: PENGUATKUASAAN PERLU KONSISTEN, ADIL - ABIM

09/02/2026 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah perlu dilaksanakan secara adil, konsisten, berintegriti dan berhemah selaras dengan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara hukum.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata tindakan tegas itu penting bagi memulihkan disiplin pentadbiran, mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi serta menutup ruang manipulasi sentimen kaum dan agama yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata bagi memastikan penyelesaian yang sah serta harmoni, ABIM mencadangkan penguatkuasaan tegas terhadap binaan baharu yang jelas melanggar undang-undang dilaksanakan secara berperingkat serta berhemah.

“ABIM turut mencadangkan pemutihan bersyarat bagi rumah ibadat lama yang terbina akibat kecuaian sistem termasuk pendaftaran rasmi, pematuhan aspek keselamatan serta penyelesaian status tanah melalui proses yang telus dan sah.

“Keperluan rizab rumah ibadat pelbagai agama dalam pembangunan baharu juga perlu diambil kira supaya isu yang sama tidak berulang dan keharmonian masyarakat majmuk tidak dikorbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Fahmi berkata ABIM turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Ibadat di setiap negeri melibatkan PBT, pejabat tanah, agensi agama negeri serta wakil badan agama bukan Islam yang sah, bagi memantau dan menyelesaikan isu sebelum menjadi krisis.

Beliau berkata ABIM menyambut baik pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum dan semua pihak wajib menghormati undang undang termasuk dalam isu rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah.

Ahmad Fahmi berharap isu pematuhan undang-undang tidak dijadikan medan mengaibkan mana-mana komuniti, sekali gus menyeru semua pihak menghentikan ucapan kebencian, penghinaan perkauman serta provokasi agama.

“ABIM percaya Malaysia kekal kuat kerana kepelbagaian yang diurus dengan adil, berperaturan dan beradab, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat perpaduan nasional,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan.

Perdana Menteri berkata Malaysia merupakan negara berperlembagaan dan sebarang pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan