BESTARI JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, dengan pendekatan berhemah bagi menjamin keharmonian masyarakat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam untuk tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan itu akan mempercepat pelaksanaan tindakan sedia ada di negeri itu.
Beliau berkata Selangor mempunyai sistem tersusun untuk tindakan tersebut menerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang telah diwujudkan sekian lama.
"Sepanjang 15 tahun lepas, kita bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi sesuai dan sah, malah turut mengambil tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur.
“Puluhan tindakan (perobohan) telah dilaksanakan dan rekod itu ada sejak 2015 lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari di sini hari ini.
Amirudin berkata untuk itu kerajaan negeri akan memperkemas kaedah tindakan seiring dengan undang-undang di samping menjamin keharmonian masyarakat.
Beliau berkata PBT turut terlibat dalam jawatankuasa yang diselaraskan LIMAS dengan mengambil kira pelbagai isu antaranya status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta kesan terhadap kawasan sekitar.
Semalam, Perdana Menteri berkata semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial