WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN SHARAFUDDIN TIDAK BERKENAN PENTERNAKAN BABI DI SELANGOR

10/02/2026 02:46 PM

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda tidak memperkenankan penternakan babi untuk dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan risiko menyebabkan pencemaran yang mampu memudaratkan penduduk sekitar. 

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini, berkata baginda menegaskan penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau busuk serta mengganggu sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan binatang itu. 

“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya. 

“Di samping itu ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor bertitah walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di Selangor sahaja. 

Beliau berkata tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya. 

Dalam kenyataan sama, Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menyarankan kerajaan untuk memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor sahaja. 

Beliau berkata menerusi kaedah itu, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan. 

“Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. 

“Oleh itu semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya. 

Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju untuk penternakan babi dibuat di kawasan dibantah oleh penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi serta menyarankan agar ia tidak diteruskan jika tiada kawasan sesuai. 

Isu tersebut turut dibincangkan semasa Anwar menghadap Sultan Selangor di ibu negara, dua hari lepas. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan