WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JS-SEZ: IMFC-J TERIMA 1,000 INKUIRI, SEDANG MEMUDAH CARA POTENSI PELABURAN RM73 BILION

10/02/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) menerima kira-kira 1,000 inkuiri dan sedang memudah cara potensi pelaburan berjumlah hampir RM73 bilion, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Katanya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor menubuhkan IMFC-J bagi memantapkan lagi tadbir urus di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau memberitahu, IMFC-J bertanggungjawab mempromosi dan seterusnya memudah cara kelulusan berkaitan pelaburan seperti urusan tanah, pembangunan serta lesen operasi.

Akmal Nasrullah berkata tumpuan JS-SEZ bagi 2026 adalah bagi memastikan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan dengan segera melalui pendekatan bersepadu serta penambahbaikan dan penyelarasan proses kelulusan supaya menjadi lebih cekap dan pantas.

“Bagi 2026 ini, bila disebut tahun pelaksanaan sudah pasti ia akan lebih tertumpu kepada bagaimana untuk kita mengoperasikan usaha ini. Apabila di peringkat operasi, sudah pasti akan ada cabaran, sudah pasti akan ada isu yang perlu kita atasi dari semasa ke semasa.

"Oleh sebab itu bagi membolehkan kita mempunyai keselarasan, keharmonian daripada semua agensi yang terlibat sama ada di sebelah Malaysia (kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri) serta Singapura, kita menyediakan panduan pelan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kementerian itu dalam fasa akhir penyediaan dokumen Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ yang akan melibatkan strategi pembangunan industri di kawasan berkenaan termasuk integrasi ekosistem, pembangunan bakat, pergerakan rentas sempadan serta pencapaian akses kemudahan yang lebih baik.

“Sudah saya nyatakan berkali-kali bahawa pelan tindakan ini kita jangkakan siap pada pertengahan Mac bagi membolehkannya dilancarkan pada hujung Mac tahun ini,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata berdasarkan laporan terbaharu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai pelaburan yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025 di JS-SEZ adalah sebanyak RM68 bilion.

“Pencapaian ini menjadikan JS-SEZ sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah pelaburan di Johor iaitu sebanyak 75 peratus dan membuktikan JS-SEZ memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama negara,” katanya.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan