WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MSN, HKSI JALIN KERJASAMA TINGKATKAN SUKAN BERPRESTASI TINGGI

10/02/2026 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) menjalin kerjasama strategik menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi dserta bidang profesional berkaitan.

MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif HKSI Tony Choi dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.

Menurut Mordi, perjanjian berkuat kuasa selama tiga tahun itu menyediakan rangka kerja tersusun bagi kedua-dua institusi dalam memajukan kecemerlangan sukan melalui kerjasama antarabangsa.

Menurut Mordi, perjanjian berkuat kuasa selama tiga tahun itu menyediakan rangka kerja tersusun bagi kedua-dua institusi dalam memajukan kecemerlangan sukan melalui kerjasama antarabangsa.

Beliau berkata kerjasama ini turut memberi fokus kepada pengukuhan sistem yang menyokong prestasi atlet elit, pembangunan profesional, serta kapasiti institusi.

“MoU selama tiga tahun ini, yang berkuat kuasa dari 2026 hingga 2029, mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk bekerjasama dengan misi jelas meningkatkan prestasi sukan dan pembangunan atlet,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani MoU di Bukit Jalil, hari ini.

Mordi berkata kerjasama dengan HKSI juga dijangka memberi nilai tambah kepada atlet, khususnya dalam disiplin seperti olahraga, lawan pedang, pelayaran, dan sukan tempur.

Sementara itu, Choi tidak menolak kemungkinan memperluaskan lagi kerjasama antara MSN dan HKSI.

“Kami sudah mempunyai program Athletes Study Tour di sini dan maklum balas daripada atlet kami sangat positif. Mereka benar-benar menikmatinya, dan saya percaya itu penting. Saya memberitahu Ketua Pengarah MSN bahawa ini baru permulaan, dan saya yakin kita akan ada kerjasama lebih rapat dalam pelbagai bidang,” katanya.

Antara fokus utama kerjasama adalah penyelidikan bersama dalam sains sukan dan perubatan sukan; pertukaran kepakaran serta amalan terbaik dalam latihan berprestasi tinggi; dan teknologi prestasi serta inisiatif pembangunan kapasiti yang melibatkan atlet, jurulatih, kakitangan sokongan, serta pegawai teknikal.

Perjanjian ini juga menggalakkan penyertaan bersama dalam persidangan, seminar, bengkel, dan platform profesional lain bagi mempromosikan perkongsian ilmu serta inovasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan