KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Akta Saraan Hakim Syarie bagi memastikan skim saraan yang setara dengan hakim Mahkamah Sivil, sekali gus memperkukuh kewibawaan institusi kehakiman syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah melalui pengiktirafan dan tadbir urus yang lebih mantap.
“Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), (kerajaan) sedang mengkaji keperluan mewujudkan Akta Saraan Hakim Syarie seiring dengan hakim sivil bagi memperkukuh kebebasan kehakiman dan pengiktirafan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang berwibawa,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, Zulkifli berkata JKSM turut meneliti undang-undang sedia ada secara berperingkat bagi memperkukuh kerangka perundangan syariah di negara ini.
Katanya kerajaan komited untuk memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah selari dengan Perlembagaan Persekutuan menerusi langkah strategik termasuk penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM).
“Kerajaan memandang serius usaha memperluaskan dan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sehubungan itu, langkah-langkah telah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat antaranya melalui Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyambut baik cadangan agar kesedaran mengenai bahaya pengambilan gula turut diterapkan dalam teks khutbah Jumaat sebagai medium dakwah kesihatan.
“Isu penjagaan kesihatan tubuh badan ini telah diberikan perhatian dalam teks-teks khutbah sebelum ini kerana kepentingan kesihatan yang baik ini akan memberi kesan dalam melaksanakan ibadah bagi umat Islam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial