KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jumlah penggunaan kenderaan elektrik (EV) tahunan telah meningkat dengan ketara kepada 44,813 unit pada 2025 berbanding 3,127unit yang dicatatkan semasa 2022, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata lonjakan ini dirangsang oleh inisiatif kerajaan yang telah memperkenalkan pengecualian duti import dan duti eksais untuk kenderaan elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU) dari 2022 hingga 2025 dengan tujuan merangsang penerimaan pasaran domestik.
“Selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020, yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan Generasi Baharu (NxGV), Kerajaan terus menggalakkan pembangunan komponen kritikal EV secara tempatan.
“(Contohnya) seperti bateri, motor pacuan elektrik dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) melalui pemberian insentif cukai kepada syarikat pengeluar kenderaan (OEM) yang menggunakannya,” katanya.
MITI menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah Kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak tertinggal dalam trend global EV termasuk pembangunan EV tempatan, bateri dan stesen pengecasan pintar menjelang 2030.
“Fasa seterusnya adalah untuk menggalakkan lebih banyak OEM melaksanakan pemasangan EV secara tempatan,” katanya.
Susulan penamatan pengecualian duti import dan eksais bagi EV CBU pada 31 Disember 2025, MITI berkata OEM telah mula beralih kepada aktiviti pemasangan tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen dan strategi operasi mereka di Malaysia.
Selain itu, MITI turut memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 5,624 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, bersamaan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial