WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NEGERI SEWAJARNYA BANGUN KEKUATAN SENDIRI DI BAWAH NIMP 2030 – INVESTPENANG

11/02/2026 10:40 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang yang telah lama bertapak menonjolkan kepentingan untuk negeri-negeri lain di Malaysia membina kekuatan mereka sendiri di bawah Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030, kata InvestPenang.

NIMP 2030 merupakan dasar perindustrian negara yang berlangsung dari 2023-2030, yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertujuan menaik taraf sektor pembuatan serta perkhidmatan berkaitan melalui penciptaan nilai lebih tinggi, penggunaan teknologi dan kemampanan.

InvestPenang ialah entiti bukan berdasarkan keuntungan kerajaan negeri yang diwujudkan bagi mempromosikan pelaburan di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Loo Lee Lian berkata ekosistem E&E Pulau Pinang dibangunkan selama lebih lima dekad, yang menekankan peranan pembangunan industri jangka panjang dalam menyokong matlamat perindustrian negara.

“Walaupun kerajaan persekutuan telah mengenal pasti bidang tumpuan utama di bawah NIMP 2030, adalah penting kepada setiap negeri untuk mengiktiraf keupayaan mereka sendiri dan membina kelebihan daya saingnya.

“Dengan berbuat demikian, negeri-negeri ini boleh mendapat manfaat daripada NIMP 2030 sambil menyumbang secara kolektif kepada ekosistem perindustrian negara yang lebih berdaya tahan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ketika mengulas mengenai sumbangan Pulau Pinang kepada pertumbuhan perindustrian Malaysia menjelaskan negeri itu terus meningkatkan rantaian nilai, khususnya dalam E&E, mesin serta peralatan, perkhidmatan perniagaan global dan peranti perubatan.

“Dari 2020 hingga September 2025, Pulau Pinang menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah eksport E&E dan berkaitan perubatan Malaysia. Pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam tempoh itu telah mencecah RM156 bilion dalam E&E serta RM3.7 bilion dalam peralatan saintifik dan pengukuran,” katanya.

Loo berkata limpahan aktiviti pembuatan berkaitan E&E dan kenderaan elektrik (EV) Pulau Pinang ke negeri jiran mencerminkan kematangan ekosistem perindustrian negeri tersebut selain telah menyokong integrasi serantau.

“Kluster serantau ini membolehkan Pulau Pinang melengkapkan, bukannya bersaing, dengan negeri sekitar dengan memperdalam pengkhususan, meningkatkan daya saing keseluruhan dan mengukuhkan rantaian bekalan bersepadu merentasi koridor,” katanya.

Secara kolektif, ini mencerminkan peranan Koridor Utara sebagai kluster industri yang bersepadu dalam rangka kerja negara. Mengenai penyelarasan persekutuan dengan negeri itu, Loo memberitahu penjajaran antara hala tuju dasar negara dan pelaksanaan di peringkat negeri adalah penting dalam memastikan NIMP 2030 memberikan hasil yang ketara.

“Penyelarasan yang rapat membantu mengurangkan kerenah pelabur, menjajarkan garis masa dan memastikan infrastruktur serta utiliti bersedia apabila pelaburan menjadi kenyataan.

“Apabila usaha persekutuan dan negeri disejajarkan dengan baik, NIMP 2030 boleh bergerak melangkaui niat dasar kepada impak sebenar di seluruh negara,” kata Loo.

Menurut beliau, Pulau Pinang kini menaungi lebih 350 syarikat multinasional termasuk kira-kira 6,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkait dengan pembuatan, kebanyakannya telah disepadukan ke dalam rantaian bekalan E&E serta semikonduktor global, sama ada secara langsung atau melalui hubungan dengan firma multinasional.

“Melalui InvestPenang, negeri ini terus menggalakkan penyetempatan rantaian bekalan yang lebih besar dengan memudahkan kerjasama yang lebih erat antara firma multinasional dan PKS tempatan, termasuk melalui hari pembekal dan sesi mencari padanan perniagaan.

“Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan PKS secara progresif dan memacu penyertaan mereka dalam segmen bernilai lebih tinggi dalam rantaian bekalan global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan