WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAKSANAAN E-INVOIS CATAT LEBIH SATU BILION URUS NIAGA, LIBATKAN 200,000 PEMBAYAR CUKAI - LHDN

11/02/2026 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan sistem e-Invois di Malaysia merekodkan lebih satu bilion urus niaga setakat ini, dengan penyertaan lebih 200,000 pembayar cukai di seluruh negara, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, lebih 135,000 pembayar cukai telah mula mengemukakan e-Invois, termasuk melibatkan pembayar cukai Fasa Keempat serta pembayar cukai baharu.

“Tahap pematuhan dan penerimaan berkaitan pelaksanaan e-Invois secara keseluruhannya  berada di tahap yang amat baik.

“Lebih 90 peratus daripada syarikat atau perniagaan dari Fasa Pertama hingga Ketiga telahpun melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang dinyatakan,” beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bernama TV, Ruang Bicara, bertajuk “E-Invois: Antara Mitos, Realiti dan Peluang untuk PMKS”.

Beliau berkata perkembangan itu membuktikan bahawa pelaksanaan e-Invois boleh dilaksanakan, meskipun pada peringkat awal terdapat cabaran, khususnya dari segi pembangunan atau pindaan sistem perniagaan (ERP), selain penyesuaian polisi dan operasi perniagaan.

Abu Tariq berkata LHDN akan terus mempergiatkan aktiviti semakan dan libat urus bersama baki syarikat atau perniagaan yang masih belum melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Ini termasuklah melalui pengeluaran surat peringatan, panggilan mesra  serta lawatan ke premis syarikat atau perniagaan yang  terlibat untuk memberikan bantuan dan khidmat nasihat  yang sewajarnya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa e-Invois bukan merupakan mekanisme atau pelaksanaan cukai baharu seperti yang sering disalah tafsir.

“Bagaimana kita boleh mengatakan e-Invois  sebagai cukai baharu sedangkan maklumat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedia ada berkenaan turut dilaporkan di dalam e-Invois.

“e-Invois hanyalah proses digitalisasi dokumentasi perniagaan daripada secara manual kepada secara  digital,” kata Abu Tariq.

Selain itu, beliau memberitahu pelaksanaan e-Invois bukan sahaja memberi fokus dan manfaat kepada syarikat atau perniagaan berskala besar, malah turut memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem perniagaan di Malaysia, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Pelaksanaan e-Invois ini akan membantu memperkasa  PMKS untuk kekal kompetitif, profesional dan memenuhi  standard dalam menjalankan perniagaan yang berstruktur dan teratur.

“Ia sekaligus mendigitalkan  operasi perniagaan dalam kalangan PMKS, mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital serta meningkatkan tahap kepercayaan dan ketelusan operasi perniagaan.” katanya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa e-Invois menggantikan kaedah perniagaan secara tradisional atau manual yang diamalkan sebelum ini.

“Perniagaan tidak lagi perlu menyimpan rekod  perniagaan secara fizikal, resit-resit yang mudah  hilang, buku-buku rekod manual, atau fail-fail invois yang  memakan ruang penyimpanan, mudah rosak, tersalah catat dan banyak lagi risiko yang memberi kesan negatif  kepada perniagaan,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa pelaksanaan e-Invois menyebabkan perniagaan perlu membayar cukai yang lebih tinggi, beliau berkata perkara itu merupakan satu lagi mitos berkaitan pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata perniagaan berpendapatan atau jualan tahunan RM1 juta ke bawah dikecualikan sementara daripada pelaksanaan mandatori e-Invois, namun digalakkan melaksanakannya secara sukarela kerana manfaatnya kepada operasi perniagaan.

“Secara tidak langsung, ia memberi nilai tambah kepada perniagaan dan membantu  mereka bersedia menghadapi ekonomi digital,” katanya.

Abu Tariq juga berkata bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, LHDN menyediakan dua platform khusus yang boleh diakses dan digunakan secara percuma.

Dua platform tersebut ialah Portal MyInvois, Aplikasi Mudah Alih MyInvois dan MyInvois e-POS.

“Selain penyediaan sistem percuma, LHDN turut menyediakan pelbagai platform bantuan dan khidmat sokongan bagi memastikan peralihan serta pelaksanaan e-Invois berjalan lancar Ini termasuklah penyediaan Garis Panduan e-Invois, soalan lazim (FAQ) dan pelbagai bahan rujukanpelaksanaan e-Invois yang boleh diperolehi di Laman Mikro e-Invois (www.hasil.gov.my/e-invois).

“Selain itu, LHDN turut secara aktif menganjurkan taklimat dan webinar secara percuma di seluruh negara,” katanya. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan