WILAYAH - UTARA > BERITA

LELAKI DITAHAN BERSAMA DADAH BERNILAI RM2.185 JUTA DI BUKIT MERTAJAM

11/02/2026 09:15 PM

BUKIT MERTAJAM, 11 Feb (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk peralatan memproses cecair vape yang kesemuanya bernilai RM2.185 juta dalam serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lepas, polis menyerbu kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Bukit Mertajam pada 4.25 petang sebelum menahan lelaki berumur 37 tahun itu di dalam sebuah kereta di situ.

"Hasil soal siasat awal terhadap lelaki terbabit, suspek membawa pihak polis ke sebuah premis berhampiran yang dipercayai dijadikan lokasi menyimpan dan memproses dadah termasuk cecair vape. 

"Polis merampas 3,700.3 gram (g) serbuk Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), cecair syabu (19,702.6 g), pil ekstasi (5,181.8 g) dan ketamin sebanyak 980.5 g serta pelbagai peralatan dan perkakasan yang dipercayai digunakan untuk memproses cecair vape," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata suspek turut mengaku menyimpan dadah di dalam ruang khas di dalam keretanya dan pemeriksaan lanjut menemukan 18,000 biji pil Eramin 5 atau 5,181.8 g serta ketulan dan serbuk kristal ketamin seberat 980.50 g di situ.

Azizee berkata siasatan awal mendapati kegiatan pengedaran dadah oleh lelaki itu dipercayai dijalankan sejak Oktober tahun lepas dan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah tersebut serta usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan dan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 100,000 penagih.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya.

Polis menyita harta bernilai RM1,000 daripada lelaki itu yang kini direman selama tujuh hari hingga 17 Feb bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan