WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA DUNIA SEPAK TAKRAW 2026: TIADA JAMINAN TEMPAT BUAT WIRA SUKAN SEA THAILAND - AHMAD JAIS

12/02/2026 08:18 AM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Barisan pemain skuad sepak takraw negara yang meraih kejayaan pada Sukan SEA Thailand tahun lepas diingatkan tidak terlalu selesa kerana tiada jaminan tempat buat mereka untuk menggalas cabaran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Mei depan.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan bahawa penilaian menyeluruh terhadap prestasi semasa setiap pemain akan dilakukan secara teliti sebelum keputusan muktamad dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dijangka hujung bulan ini.

Beliau mengingatkan status pemenang pingat emas pada temasya dwitahunan itu bukan ‘tiket’ untuk menyertai skuad kebangsaan ke kejohanan berprestij dunia berkenaan.

"Setakat ini, kita belum lagi menyenaraikan pemain yang akan memikul cabaran pada Piala Dunia 2026 nanti.

"Saya ingatkan kepada pemain, meskipun mereka bergelar juara pada Sukan SEA tempoh hari, itu bukan jaminan. Mereka perlu terus memantapkan prestasi kerana pemain muda yang bakal dipanggil juga mempunyai cita-cita besar untuk menggantikan tempat senior,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Skuad Sepak Takraw Kebangsaan Sukan SEA Thailand di sini, malam tadi.

Ahmad Jais turut menyifatkan perebutan tempat antara pemain senior dan muda sebagai satu persaingan sihat, yang mampu melonjakkan kualiti permainan pasukan negara ke tahap lebih tinggi.

Terdahulu, pada majlis anjuran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan kerjasama rakan rasmi Telekom Malaysia Berhad (TM) itu, setiap pemenang pingat emas Sukan SEA termasuk jurulatih diraikan dengan pemberian syiling emas peringatan 999 eksklusif.

Skuad negara melakar sejarah di Thailand tahun lepas dengan membawa pulang dua pingat emas dan tiga gangsa, selain menamatkan kemarau 34 tahun untuk muncul juara dalam acara regu berpasukan lelaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan